PUTRAJAYA, 25 Jan – Kerajaan sedang merangka beberapa strategi baharu dalam mengatasi isu kos sara hidup.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, ia membabitkan pelan strategi jangka pendek dan panjang yang akan diumumkan dalam masa terdekat.
“Antaranya adalah melibatkan rantaian makanan dan menambah sumber di dalam negara,” katanya menerusi sidang akhbar di kementeriannya di sini pada Rabu.
Ia akan memberi jaminan rantaian bekalan makanan secara berterusan di samping dapat mengurangkan ketergantungan bahan makanan yang diimport dari luar negara seperti Vietnam.
Selain itu, kementerian juga akan memastikan beberapa projek perintis (pilot project) dapat dilakukan dalam masa terdekat sementara menunggu beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menyerahkan kajian pelaksanaan masing-masing untuk dilaksanakan.
Beliau turut menyentuh berkenaan Indeks Harga Pengguna (IHP) yang mula mereda selari dengan redanya kadar inflasi sekitar 3.8 peratus berbanding bulan yang sama tahun lalu.
Manakala kadar inflasi bagi keseluruhan tahun 2022 ialah sebanyak 3.3 peratus seperti yang diunjur oleh Kementerian Kewangan, jauh lebih rendah berbanding Singapura yang mengumumkan kadar 6.1 peratus bagi tahun 2022 hari ini.
Pada sidang media sama, beliau juga memberi beberapa tips bagi membolehkan rakyat menikmati hidup yang lebih baik sementara kerajaan memastikan bekalan makanan dan harga terus stabil dalam beberapa bulan akan datang.