BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Jan – Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menghadap Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah sempena lawatan rasmi dua harinya ke negara ini.
Perdana Menteri yang ditemani isteri, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, tiba di Istana Nurul Iman di sini pada pukul 11.05 pagi.
Turut berangkat pada majlis menghadap itu ialah Raja Isteri Pengiran Anak Saleha.
Hubungan peribadi erat antara kedua-dua pemimpin itu mampu membawa manfaat jangka panjang bagi kedua-dua negara.
Perdana Menteri turut diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei, Datuk Raja Reza Raja Zaib Shah.
Anwar kemudian mengadakan pertemuan empat mata bersama Sultan Hassanal Bolkiah sebelum menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Agensi Pelaburan Brunei (BIA).
BIA diwakili Pemangku Pengarah Urusannya, Sofian Mohammad Jani manakala MIDA oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Arham Abdul Rahman.
Brunei merupakan negara kedua dilawati Anwar selepas dilantik sebagai Perdana Menteri pada 24 November tahun lalu.
Pada 9 Januari lalu, Anwar melakukan lawatan rasmi pertama beliau ke Indonesia selama dua hari dan merupakan negara pertama tetangga ASEAN yang beliau lawati.
Terdahulu, Sultan Brunei telah melakukan lawatan ke Malaysia beberapa hari setelah Anwar mengangkat sumpah jawatan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Perdana Menteri berlepas pulang petang ini.