ROM, 25 Jan – Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah (ECHR) memutuskan kes pendakwaan terhadap Russia berhubung insiden pesawat MH17 yang ditembak jatuh pada 2014 boleh diteruskan.
Kerajaan Belanda dalam pendakwaannya menyebut bahawa Russia menyalurkan maklumat salah mengenai peranan Moscow dalam kejadian itu dan ia adalah pencabulan hak asasi buat semua waris mangsa terbabit.
Namun Russia menafikan dakwaan tersebut.
Keputusan pendakwaan kes didengar telah dibacakan pada jam 2.30 petang tadi waktu tempatan (9.30 malam waktu Malaysia).
Pada Julai 2014, pesawat Boeing 777 dari Amsterdam ke Kuala Lumpur terhempas selepas terkena tembakan peluru berpandu darat-ke-udara ketika konflik memuncak di antara pemberontak pro-Russia dan tentera Ukraine di Wilayah Donbas, Ukraine.
Semua 298 penumpang termasuk anak kapal terbunuh setelah pesawat itu ditembak jatuh oleh peluru berpandu buatan Russia yang didakwa dilepaskan oleh kumpulan pemisah Ukraine yang disokong Russia.
Belanda mendakwa Russia terbabit dalam insiden itu dan kes itu bergantung kepada sama ada Moscow mempunyai kawalan ke atas wilayah berkenaan.
Sekiranya ECHR memutuskan untuk mendengar kes yang dibawa Belanda dan diteruskan, keputusan mungkin akan memakan masa bertahun sebelum diumumkan.
Namun, jika ECHR meletakkan keputusan bersalah terhadap Russia, Moscow mungkin diwajibkan membayar ganti rugi kepada waris mangsa terbabit.
Pada November lalu, mahkamah Belanda mendapati tiga lelaki, iaitu dua warga Russia dan seorang warga Ukraine, bersalah atas tuduhan membunuh dalam kes berkenaan.
Mahkamah membuat kesimpulan bahawa peluru berpandu itu dilepaskan dengan sengaja untuk menjatuhkan pesawat walaupun sasaran sebenar adalah milik tentera dan bukannya orang awam.
Ketiga-tiga lelaki itu dijatuhi hukuman penjara seumur hidup, namun kesemua mereka dilapor berada di Russia.
Moscow mengkritik keputusan itu yang didakwanya sebagai bermotif politik dan dilapor tidak akan menyerahkan suspek untuk menjalani hukuman.
– AGENSI