WASHINGTON, 24 Jan – Rumah Putih hari ini, memberitahu siasatan oleh Jabatan Kehakiman (DOJ) di rumah Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, minggu lalu dilakukan selepas “tawaran sukarela dan proaktif” oleh peguam peribadinya.
Pejabat Peguam Rumah Putih juga berkata, pihaknya sedang menyemak permintaan rekod oleh Jawatankuasa Pemantauan Dewan pimpinan Republikan dan berjanji untuk menghormati pengawasan perundangan.
Bagaimanapun, ia memberi amaran bahawa kerjasamanya mungkin dihadkan oleh keistimewaan eksekutif dan penyiasatan Jabatan Kehakiman yang berterusan.
Menurut peguam presiden dalam satu kenyataan, pencarian di rumah Biden di Wilmington, Delaware, oleh jabatan itu menemui enam lagi item, termasuk dokumen dengan tanda klasifikasi.
Berita terkini setiap pagiDapatkan Berita Pilihan
Berita Harian dalam e-mel anda
Ia antara terbaru dalam rentetan penemuan dokumen sulit di rumah Wilmington Biden dan di pejabat sementara di Universiti Pennsylvania.
Jurucakap Rumah Putih, Ian Sams, berkata perkara itu adalah tawaran proaktif secara sukarela oleh peguam peribadi presiden kepada DOJ untuk mendapat akses ke rumah berkenaan.
Sams enggan memberikan lebih banyak penjelasan mengenai kandungan tepat bahan yang diambil dari rumah Wilmington.
“Biden dimaklumkan sepanjang proses itu,” kata Rumah Putih.
Pencarian itu meningkatkan pertaruhan undang-undang dan politik untuk Biden, yang menegaskan bahawa penemuan bahan sulit di rumah dan bekas pejabatnya adalah tidak penting.
– REUTERS