Connect with us

Hi, what are you looking for?

MEDIA RANIA

Antarabangsa

Seluruh Dunia Kutuk Al-Quran Dibakar Di Sweden

Kongsikan Artikel Ini

ISTANBUL, 23 Jan – Negara Arab dan seluruh dunia termasuk dunia Islam terus mengecam tindakan pelampau sayap-kanan Sweden-Denmark, membakar Al-Quran di ibu negara Sweden, Stockholm.

Rasmus Paludan, ketua Parti Stram Kurs, kini di bawah perlindungan polis mendapat kebenaran daripada kerajaan untuk membakar senaskah al-Quran di luar Kedutaan Turki di Stockholm, Sabtu lalu.

Arab Saudi mengecam tindakan pihak berkuasa Sweden kerana membenarkan ahli politik sayap kanan itu membakar al-Quran.

Dalam satu kenyataannya, Kementerian Luar Arab Saudi menekankan “pendirian tegas kerajaan yang menyeru terhadap kepentingan menyebarkan dialog, toleransi dan kewujudan bersama dan menolak kebencian serta ekstremisme.”

Kementerian Luar Mesir mengecam pembakaran al-Quran sebagai “perbuatan yang memalukan.”

Kementeriannya dalam satu kenyataan memberi amaran bahawa “perbuatan memalukan itu membangkitkan kemarahan ratusan juta umat Islam di seluruh dunia.”

“Amalan ekstremis ini tidak konsisten dengan nilai menghormati orang lain, kebebasan kepercayaan, hak asasi manusia dan kebebasan asasi manusia,” tambahnya.

Qatar turut mengecam sekeras-kerasnya kebenaran Sweden membakar al-Quran di luar Kedutaan Turki di Stockholm.

“Kejadian kejam ini adalah satu tindakan menghasut dan provokasi serius terhadap perasaan lebih dua bilion umat Islam di dunia,” kata Kementerian Luar Qatar dalam satu kenyataan.

Emiriah Arab Bersatu (UAE) juga mengutuk insiden itu dan mengulangi “penolakannya terhadap semua amalan yang bertujuan menjejaskan keselamatan dan kestabilan yang bertentangan dengan nilai dan prinsip manusia dan moral.”

UAE memperbaharui gesaannya untuk meninggalkan ucapan kebencian dan keganasan dan menekankan keperluan untuk menghormati simbol agama dan mengelakkan hasutan kebencian dengan menghina agama.

Oman menyebut pembakaran al-Quran sebagai “tindakan provokasi terhadap perasaan umat Islam dan hasutan untuk keganasan dan kebencian, oleh pelampau di Sweden.”

Ia menggariskan keperluan untuk usaha antarabangsa bagi menyatukan nilai toleransi dan kewujudan bersama serta menjenayahkan semua tindakan yang menggalakkan ideologi kebencian.

Menteri Luar Kuwait, Sheikh Salem Abdullah Al-Jaber Al-Sabah, mengecam pembakaran al-Quran, berkata insiden itu “mencederakan sentimen umat Islam di seluruh dunia dan menandakan provokasi yang serius.”

Iran juga menamakan pembakaran al-Quran sebagai cubaan untuk mencetuskan kebencian dan keganasan terhadap umat Islam.

Tehran berkata beberapa negara Eropah dengan alasan palsu menyokong kebebasan bersuara “membenarkan unsur-unsur ekstremis dan radikal menyebarkan kebencian terhadap kesucian serta nilai Islam.”

Jordan menyertai paduan suara kecaman dan menekankan “penolakan kerajaan terhadap tindakan ini yang menyemarakkan kebencian.”

Amman menggariskan keperluan untuk menyebarkan budaya keamanan dan penerimaan lain, sambil menambah bahawa “mengutuk ekstremisme adalah tanggungjawab bersama.”

Maghribi berkata ia “terkejut” dengan kebenaran Sweden membakar kitab suci Islam.

“Perbuatan penuh kebencian ini menyinggung perasaan lebih satu bilion umat Islam, boleh menyemarakkan kemarahan dan kebencian antara agama dan rakyat,” menurut Kementerian Luar Maghribi dengan memberi amaran menerusi satu kenyataan.

Pakistan menggelar insiden itu sebagai “tindakan Islamofobia yang tidak masuk akal dan provokatif yang menyakiti sensitiviti agama lebih 1.5 bilion umat Islam di seluruh dunia.”

Tindakan sedemikian “tidak dilindungi di bawah sebarang ungkapan yang sah mengenai hak kebebasan bersuara atau pendapat, yang menjadi tanggungjawab di bawah undang-undang hak asasi manusia antarabangsa, seperti kewajipan untuk tidak mengucapkan kata-kata kebencian dan menghasut orang ramai melakukan keganasan,” kata Kementerian Luarnya dalam satu kenyataan.

Kementerian Luar Bangladesh mengecam “tindakan menghina nilai-nilai suci umat Islam di seluruh dunia dengan bertopengkan ‘kebebasan bersuara’.”

Kementerian Luar dalam kerajaan sementara Taliban di Afghanistan juga dengan keras mengutuk pembakaran dan mencemarkan Al-Quran serta menggesa kerajaan Sweden untuk menghukum pelakunya.

Dalam satu kenyataan, kementerian itu turut menggesa Stockholm supaya tidak membenarkan mereka melakukan tindakan provokasi terhadap agama dan umat Islam pada masa akan datang.

Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) juga mengecam pembakaran al-Quran sebagai tindakan provokatif yang “mensasarkan umat Islam, menghina nilai-nilai suci mereka, dan menjadi contoh membimbangkan mengenai Islamophobia” dan meminta Sweden untuk menghukum mereka yang berada di belakang jenayah kebencian.

Sementara itu, Azerbaijan turut mengecam pembakaran naskhah Al-Quran di Sweden.

Kementerian Luar Turki mengecam pembakaran kitab suci Islam di Stockholm sebagai “serangan keji.”

“Kami mengutuk sekeras-kerasnya serangan keji terhadap kitab suci kami, Al-Quran, di Sweden, walaupun amaran diberikan berulang kali sebelum ini,” katanya.

Sebagai tindak balas kepada kebenaran Sweden untuk insiden itu, Ankara membatalkan lawatan Menteri Pertahanan Swedenx Pal Jonson yang akan berkunjung ke Türkiye.

– BERNAMA

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Jangan lupa baca ini...

Antarabangsa

Kongsikan Artikel IniWASHINGTON, 2 Feb – Pencarian Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) semalam mengesahkan tiada dokumen sulit ditemui di kediaman tepi pantai Presiden Amerika Syarikat...

Antarabangsa

Kongsikan Artikel IniDENPASAR, 2 Feb – Polis Bali melarang anggotanya daripada mengunjungi mana-mana kelab malam di wilayah itu kecuali bagi menjalankan tugas. Ketua Bahagian...

Antarabangsa

Kongsikan Artikel IniSEOUL, 1 Feb – Korea Selatan dijangka melancarkan peluru berpandu balistik “berkuasa tinggi” baharu dalam masa terdekat, menurut sumber. Ia dilihat sebagai...

Antarabangsa

Kongsikan Artikel IniWASHINGTON, 1 Feb – Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) memutuskan untuk menghancurkan Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) tepat ke Bumi menjelang...

Copyright © 2021 Media Rania - LIVE ON NEW SERVER