KUALA LUMPUR, 23 Jan – Kadar inflasi utama diunjurkan lebih sederhana pada 3.0 peratus tahun ini, sebahagiannya disokong ringgit yang meningkat 9.7 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sejak merekodkan paras terendah RM4.75 pada November 2022.
Harga komoditi lebih rendah juga membantu dalam membendung tekanan harga utama, demikian menurut AmInvest Research dalam satu nota penyelidikan.
Sementara itu, ia berkata inflasi teras dijangka turun sejajar kadar perbelanjaan swasta yang lebih rendah dijangka dalam tempoh sama.
“Bagaimanapun, risiko ke atas inflasi teras cenderung ke arah peningkatan berikutan tahap perbelanjaan swasta yang masih kukuh, berdasarkan daripada jualan perdagangan borong dan runcit yang lebih tinggi pada separuh kedua 2022,” katanya.
Firma penyelidikan itu berkata, pasaran pekerjaan di Malaysia, yang sangat berkolerasi dengan inflasi teras berpotensi untuk mencatatkan pertumbuhan.
“Secara kebetulan, jumlah pekerjaan kosong di Malaysia masih dua hingga tiga kali lebih tinggi berbanding paras prapandemik. Ini bermakna, pasaran pekerjaan di Malaysia mempunyai lebih banyak ruang untuk meningkat dan ini boleh mengekalkan inflasi dipacu permintaan di negara ini,” katanya.
AmInvest Research berkata, unjuran inflasi di Malaysia boleh berubah jika salah satu daripada tiga faktor menjadi kenyataan pada tahun ini.
Faktor utama, katanya pelaksanaan subsidi bersasar untuk menghapuskan had harga bahan api RON95 dan diesel.
“Analisis kami menunjukkan satu sen kenaikan RON95 boleh menaikkan Indeks Harga Pengguna (IHP) sebanyak 0.04 peratus,” katanya.
Faktor lain, katanya kekerapan banjir atau sebarang bencana alam berkaitan iklim yang boleh mengganggu logistik dan harga makanan, di samping kelemahan luar jangkaan ringgit yang boleh menyebabkan harga import meningkat.
“Mengenai tinjauan kadar faedah, kami buat masa ini mengekalkan jangkaan satu lagi kenaikan 25 mata asas pada tahun ini, meningkatkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kepada 3 peratus, sebahagian besarnya dipacu keperluan untuk membendung inflasi teras.
“Penurunan terkini inflasi teras, pada pandangan kami, adalah terlalu awal untuk merumuskan bahawa ia sudah mencapai kemuncaknya pada November lalu,” katanya.