KOTA BHARU, 22 Jan – Kenyataan Timbalan Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli bahawa parti itu serius membina kekuatan di Kelantan dan Terengganu dengan memperkenalkan rancangan lima tahun dalam usaha memikat hari rakyat untuk menerima kehadiran parti itu, disambut baik pemimpin parti kedua-dua negeri itu.
Menurut Timbalan Pengerusi MPN Kelantan yang juga Ketua Cabang KEADILAN Pengkalan Chepa, Syed Mohd Alidustur Syed Mohd Zain, pengumuman Rafizi amat tepat pada masanya bagi memperkasa parti di Kelantan selaras dengan konsep memberi peluang kepada anggota parti terlibat memahirkan diri secara langsung dengan selok-belok pentadbiran kerajaan.
Ia turut disokong Ketua Cabang KEADILAN Bachok, Abd Aziz Abdullah yang mahu anggota parti setiap peringkat merebut peluang daripada pelan berkenaan bagi menambah ilmu pentadbiran dan membantu rakyat di segenap lapisan di negeri ini.

Timbalan Pengerusi MPN Kelantan, Syed Mohd Alidustur Syed Mohd Zain (kiri) dan Ketua Cabang KEADILAN Bachok, Abd Aziz Abdullah
“Saya menyokong penuh pelan yang akan akan dibentangkan oleh Saudara Rafizi bagi negeri Kelantan khususnya untuk anggota parti merebut peluang memajukan diri menambah ilmu dan membantu rakyat yang rata-ratanya berada dalam kelompok miskin tegar,” katanya.
Bagi Naib Ketua Cabang KEADILAN Kota Bharu, Muhd Hafiz Muhd Kasasi, pengumuman pelan tersebut dapat menyuntik semangat anggota parti di seluruh Kelantan membantu Kerajaan Persekutuan dalam melaksanakan dan menyebarkan dasar dan hala tuju parti di peringkat negeri.
“Selaras dengan pengumuman Timbalan Presiden itu, kami di peringkat cabang mahupun negeri berazam akan melaksankan pelan berkenaan dan ini peluang yang amat baik bagi anggota parti membantu Kerajaan Persekutuan dalam melaksanakan dan menyebarkan dasar dan hala tuju parti di peringkat negeri,” ujar beliau.
Sementara itu, pemimpin KEADILAN Terengganu yang dihubungi juga amat bersyukur dengan pengumuman Rafizi itu pada konvensyen parti yang diadakan di Kuala Terengganu semalam.
Timbalan Pengerusi MPN Terengganu yang juga Ketua Cabang KEADILAN Besut, Dr Che Ku Hashim Che Ku Mat berpandangan pelan yang akan dibentangkan oleh Rafizi bakal memberi dimensi baharu dalam semangat anggota parti di negeri itu.

Timbalan Pengerusi MPN KEADILAN Terengganu, Dr Che Ku Hashim Che Ku Mat (kiri) dan Naib Pengerusi MPN Terengganu, Zainuddin Awang @ Omar
Menurutnya, ia merupakan pelan komprehensif memperkasa parti bagi menghadapi PRN dan juga PRU-16 kelak.
Manakala Naib Pengerusi MPN Terengganu merangkap Timbalan Ketua Cabang KEADILAN Kuala Nerus, Zainuddin Awang @ Omar berkata, ia menunjukkan bahawa lanskap parti bakal berubah dengan pelan berkenaan sekaligus membuktikan Rafizi benar-benar mahu melihat KEADILAN Terengganu bangkit melangkah ke arah kemajuan.
Dalam rancangan yang akan dibentang pada akhir Februari ini, Rafizi menambah, ia akan melibatkan peningkatan kemahiran dalam kalangan anggota parti untuk melangkah ke peringkat lebih tinggi.
“Menerusi rancangan itu, kita akan memperincikan semua aspek termasuk dari segi kemahiran, kehadiran anggota membabitkan masyarakat serta kualiti khidmat. Hal ini bagi memastikan ahli KEADILAN dapat memberikan perkhidmatan lebih berkesan kepada masyarakat setempat.
“Kita akui anggota dan akar umbi kita memerlukan kemahiran tertentu yang selama ini tidak dilatih dengan baik sehingga ada jurang dan beberapa negeri perlu diberi tumpuan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Pilihan Raya Negeri Kelantan di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Kelantan di sini, pada Sabtu.
Ahli Parlimen Pandan itu memberitahu, beliau berharap seluruh ahli parti dapat mengambil peluang itu sebaik mungkin bagi memastikan KEADILAN terus mendapat tempat dalam kalangan masyarakat di kedua-dua negeri itu.
Dalam perkembangan lain, Rafizi berkata, KEADILAN dijangka melancarkan koperasi parti pada bulan depan dalam menjaga kebajikan anggota menerusi ekonomi setempat.
Difahamkan ia akan dinamakan sebagai Koperasi KEADILAN Berhad dengan sasaran penyertaan sebanyak 20 hingga 30 peratus daripada 1.2 juta anggota parti itu di seluruh negara.
“Bagi penubuhan koperasi KEADILAN ini, kita menyasarkan sekurang-kurangnya 20 hingga 30 peratus ahli menyertainya,” ujarnya.