LONDON, 16 Jan – Mikel Arteta memuji ‘keberanian’ Arsenal ketika pendahulu Liga Perdana Inggeris (PL) itu menang 2-0 mengatasi Tottenham Hotspur sebelum terus tenang apabila penjaga gol, Aaron Ramsdale diserang oleh penyokong selepas wisel penamat awal pagi tadi.
Skuad kendalian Arteta diberikan gol awal oleh penjaga gol Tottenham, Hugo Lloris yang menolak hantaran lintang Bukayo Saka ke gawang sendiri pada awal babak pertama.
Martin Odegaard menambah gol kedua Arsenal menerusi sepakan jarak jauh yang menakjubkan sebelum rehat.
Kemenangan liga pertama Arsenal mengatasi Tottenham sejak 2013-14 memberikan mereka kelebihan lapan mata di depan pasukan tangga kedua, Manchester City.
Namun sambutan mereka tergendala apabila penyokong Spurs masuk ke padang dan cuba menyepak Ramsdale selepas penjaga gol Arsenal itu bertelagah dengan pemain Tottenham, Richarlison.
“Penyokong Spurs memberikan saya sedikit tekanan sepanjang babak kedua, saya membalasnya, kemudian mereka melompat masuk ke padang,” kata Ramsdale.
“Ia agak pahit tapi syukur tiada apa yang terlalu drastik terjadi.”
Ditanya mengenai insiden berkenaan, Arteta menambah: “Saya hanya mahu bercakap mengenai bola sepak dan permainan cantik yang kami mainkan.