SEREMBAN, 12 Jan – Berikutan sambutan amat menggalakkan yang diterima daripada rakyat sebelum ini, Kerajaan Negeri Sembilan bersetuju untuk meneruskan Program Jualan Harga Ladang Nismilan Prihatin di beberapa lokasi terpilih di seluruh negeri ini bermula jam 8 pagi esok.
Menerusi perkongsian terbaharu di Facebook, Menteri Besar, Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, antara barangan yang akan dijual di bawah inisiatif ini adalah ayam segar, telur pelbagai gred, minyak masak, sayur-sayuran dan lain-lain barangan pada paras harga yang lebih 𝗺𝘂𝗿𝗮𝗵 𝗮𝗻𝘁𝗮𝗿𝗮 𝟮𝟬 𝗵𝗶𝗻𝗴𝗴𝗮 𝟯𝟬 𝗽𝗲𝗿𝗮𝘁𝘂𝘀 berbanding harga di pasaran.
“Kaedah pelaksanaan program ini adalah seperti berikut iaitu sayur dijual dengan harga ladang dalam paket, ayam segar dijual antara RM10 hingga RM13 seekor, telur gred B dijual pada harga RM12.00, (Gred C RM11.00 dan Gred D RM10.00).
“Selain itu, ikan segar akan dijual pada harga antara RM5 hingga RM8 sekilogram dan minyak masak dalam paket polibeg dijual pada harga hanya RM2,” katanya.
Antara lokasi yang terlibat dengan inisiatif ini ialah seperti berikut:
a) DUN Pertang: Dewan Felda Pasoh 1
b) DUN Bahau: Dewan Orang Ramai Kampung Bakar Batu
c) DUN Pilah: Flat Waja, Kuala Pilah
d) DUN Sikamat: Dewan Orang Ramai SIkamat
e) DUN Labu: Padang Awam Kg Jijan
f) DUN Chembong: Tapak Penjaja Rembau Sentral
g) DUN Bagan Pinang: Balai Raya Taman Intan Perdana
h) DUN Gemas: Tapak Pasar Pagi Pekan Gemas
Mengulas lanjut, beliau berkata, program ini adalah manifestasi keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap isu kenaikan harga barang yang terus menerus menghimpit rakyat negeri ini tidak kira latar belakang.
“Semoga inisiatif ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang dihadapi rakyat dalam waktu yang sukar ini, Insya-Allah,” katanya.
Pada pembentangan Belanjawan 2023 tahun lalu, Kerajaan Negeri memutuskan untuk meneruskan lagi inisiatif ini dengan peruntukan sebanyak RM1 juta.
“Saya juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada syarikat-syarikat yang sudi memasarkan produk mereka pada harga ladang.
“Saya amat terharu dengan kesudian kakitangan kerajaan dan sukarelawan yang sanggup berkorban tenaga menyembelih ayam, memproses, membungkus dan menjual barangan setiap minggu di tujuh lokasi di seluruh Negeri Sembilan,” ujar Aminuddin.
Ikuti platform media sosial rasmi Menteri Besar Negeri Sembilan seperti berikut:
Facebook: https://fb.com/dsaminuddinharun
Twitter: https://twitter.com/dsaminuddin
Instagram: https://instagram.com/dsaminuddinharun