LONDON, 13 Jan – Fulham menambah tekanan ke atas pengendali Chelsea, Graham Potter dengan kemenangan 2-1 yang menyaksikan Joao Felix dibuang padang dan Kepa Arrizabalaga melakukan kesilapan yang membawa padah.
Skuad kendalian Potter kini tewas buat kali ketujuh dalam 10 perlawanan Liga Perdana Inggeris (PL) selepas satu lagi persembahan memalukan.
Chelsea ketinggalan hasil jaringan bekas pemain sayap mereka, Willian di babak pertama aksi di Craven Cottage.
Kalidou Koulibaly menyamakan kedudukan selepas rehat tetapi pemain baharu Chelsea yang dipinjam daripada Atletico Madrid, Felix dilayangkan kad merah pada penampilan sulungnya kerana mengasari Kenny Tete.
Fulham mendapat gol kemenangan selepas penjaga gol Chelsea, Kepa, gagal menangani hantaran lintang yang disempurnakan Carlo Vinicius untuk meletakkan Potter di ambang pemecatan selepas empat bulan menggantikan Thomas Tuchel.
Chelsea kini di tangga ke-10 liga – 10 mata di belakang kelompok empat teratas selepas merakam hanya satu kemenangan dalam sembilan aksi liga.
Mereka cuma menjaringkan empat gol dalam lapan perlawanan terakhir dan Potter memerlukan kemenangan ke atas Crystal Palace Ahad ini untuk menyelamatkan kedudukannya.
Senarai kecederaan yang membabitkan N’Golo Kante, Christian Pulisic, Raheem Sterling, Ben Chilwell dan Reece James, antara faktor yang menjejaskan misi Potter.
– AFP