SEREMBAN, 11 Jan – Pihak berkuasa negeri terutama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Alam Sekitar (JAS) diminta untuk terus memantau risiko pencemaran sungai di Negeri Sembilan, khususnya bagi sumber air berhampiran sempadan negeri jiran termasuk Selangor.
Menteri Besar, Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata ia bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku yang pastinya menjejaskan bekalan air bersih bukan sahaja membabitkan penduduk negeri ini malah kepada kelompok masyarakat yang lebih ramai.
“Agensi berkenaan perlu beri perhatian serius terhadap isu berkenaan kerana ia merupakan masalah masyarakat yang perlu dibantu, ia saling berkaitan dan melibatkan ramai penduduk.
“Untuk Selangor, ada sungai di negeri itu yang bermula di Negeri Sembilan jadi itu antara perkara yang selalu Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari minta supaya kita berikan perhatian,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di sini hari ini.
Beliau berkata masyarakat juga perlu bertanggungjawab menjaga kebersihan sungai yang merupakan pembekal sumber air kepada manusia sekali gus memastikan kelestarian alam sekitar terjamin.
Pada 24 Disember lepas, Loji Rawatan Air Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi, Selangor dihenti tugas akibat tumpahan pati minyak wangi susulan kemalangan sebuah lori dengan muatan bahan itu di Lebuhraya Elite berdekatan Bandar Serenia, sehingga menyebabkan pencemaran di Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir dan menjejaskan bekalan air penduduk sekitar.
Sementara itu, Aminuddin berkata kerajaan negeri bersetuju menyambung pemberian diskaun bayaran premium pembangunan tanah sehingga 25 peratus bagi mereka yang menjelaskannya dalam tempoh sebulan hingga tiga bulan, sebagai galakan kepada sektor perniagaan di negeri ini.
Ikuti platform media sosial rasmi Menteri Besar Negeri Sembilan seperti berikut:
Facebook: https://fb.com/dsaminuddinharun
Twitter: https://twitter.com/dsaminuddin
Instagram: https://instagram.com/dsaminuddinharun