PUTRAJAYA, 6 Dis – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan Tan Sri Muhyiddin Yassin, supaya tidak mencabar beliau dalam isu membabitkan dakwaan penyelewengan peruntukan RM600 bilion oleh pentadbiran Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.
Anwar ketika sidang media pertamanya selepas dilantik Menteri Kewangan hari ini, memaklumkan terdapat beberapa proses dan prosedur yang tidak dipatuhi semasa pemerintahan PN.
Beliau juga mendedahkan bahawa syarikat yang mempunyai kepentingan ‘membabitkan keluarga’ turut terbabit dalam penyelewengan perbelanjaan itu.
Berita terkini setiap pagiDapatkan Berita Pilihan
Berita Harian dalam e-mel anda
“Saya nak tumpu perhatian mengurus negara ini, memacu pertumbuhan ekonomi dan memberi kebajikan kepada rakyat.
“Tetapi sebaik dicabar, kita terpaksa melihat (perbelanjaan dana RM600 bilion), kalau boleh hentikan seperti mana RM7 bilion ini (projek tebatan banjir) boleh dihentikan,” katanya.
Semalam, Anwar ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas Kabinet berkata, pegawai Kementerian Kewangan mengesahkan terdapat pelanggaran serius prosedur berhubung dakwaan perbelanjaan hampir RM600 bilion ketika pentadbiran kerajaan diterajui Muhyiddin.
Perdana Menteri berkata beliau sudah menyerahkan perkara itu untuk disiasat jabatan berkaitan bagaimanapun memaklumkan belum ada perbincangan di peringkat Kabinet sama ada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) akan ditubuhkan bagi menyiasat perkara itu.
Sebelum ini ramai mendesak supaya RCI ditubuhkan bagi menyiasat perbelanjaan Rm600 bilion ketika pandemik itu, selain laporan polis dibuat untuk menuntut siasatan diadakan.
Anwar dalam pada itu berkata, biarpun pemimpin PN menguar-uarkan pentadbiran itu bersih, ia sebenarnya tidak bersih sama sekali.
“Kontroversi dibahaskan sekarang mengenai RM600 bilion semasa PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) sewaktu darurat dulu.
“Di Parlimen saya pernah sebut bahawa kenyataan itu sengaja mengelirukan, seolah-olah kerajaan ketika itu memberi wang begitu banyak kepada rakyat RM600 bilion.
“Sejumlah besar adalah wang KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja), wang rakyat sendiri,” katanya.
Beliau berkata, perkara itu sudah pun diulas beliau dua tahun lalu di Parlimen kerana ia seolah-oleh usaha untuk mengelirukan rakyat.
Ketika ini, katanya pemimpin PN mengakui bahawa sebahagiannya membabitkan wang KWSP dan juga wang bank melalui keputusan moratorium, namun peruntukan lain berjumlah puluhan bilion ringgit menunjukkan berlaku pelanggaran peraturan sedia ada.
Sementara itu, Anwar turut mengingatkan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan untuk tidak bersikap gopoh ketika mengeluarkan kenyataan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadapnya.
Beliau berkata, kenyataan dibuat oleh Takiyuddin itu disifatkan kerana pemimpin PAS itu tidak membaca fakta yang ada.
“RM600 bilion itu peruntukan sepenuhnya, tetapi kita akan teliti di mana ada pelanggaran peraturan dan ketirisan.
“Saya nak nasihatkan Takiyuddin jangan gopoh kerana saya di Kementerian Kewangan. Fail ada pada saya,” katanya
Anwar mengulas kenyataan Takiyuddin tengah malam tadi yang kesal dengan tuduhan berunsur fitnah dikeluarkan Perdana Menteri semalam, yang membayangkan kononnya dana pilihan raya PN datang daripada syarikat perjudian.