PUTRAJAYA, 5 Dis – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mempengerusikan mesyuarat khas Kabinet Kerajaan Perpaduan di Perdana Putra di sini, tiga hari selepas senarai anggota Jemaah Menteri diumumkan Jumaat lalu.
Barisan Kabinet dianggotai 28 menteri serta dua timbalan perdana menteri, selain Anwar sendiri memegang portfolio Menteri Kewangan.
Mesyuarat pertama yang dihadiri kesemua Jemaah Menteri itu bermula jam 10 pagi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan mesyuarat Kabinet yang pertama di Pejabat Perdana Menteri, hari ini. – Foto ihsan PMO
Anwar tiba di Bangunan Perdana Putra itu pada kira-kira 8.10 pagi sebelum mempengerusikan mesyuarat khas berkenaan.
Anwar, 75, mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada 24 November lalu, hampir seminggu selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) menyaksikan tiada mana-mana parti politik mahupun gabungan berjaya memperoleh jumlah kerusi mencukupi untuk membentuk kerajaan.
Kebanyakan menteri Kabinet telah mengimbas kad perakam waktu dan memasuki pejabat masing-masing sebelum menghadiri mesyuarat berkenaan.
Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli dilihat duduk bersebelahan dengan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Turut kelihatan, Menteri Sains dan Teknologi, Chang Lih Kang dan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad.