KENYATAAN MEDIA TIMBALAN KETUA PENERANGAN KEADILAN
Oleh: Razeef Rakimin
Ahad 04 Disember 2022
SANUSI KETERLALUAN LABEL PENYOKONG SENDIRI SEBAGAI PENGEMIS, BODOH
Saya amat terkilan dengan tindakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor yang menyifatkan pengundi PN sebagai “bodoh” kerana meminta wang tambang untuk balik mengundi. Beliau juga mengakui penyokong Pakatan Harapan (PH) sanggup habis ratusan dan ribuan ringgit untuk balik mengundi.
Beliau menyatakan “Pengundi PH tidak pernah minta walau pun 10 sen, sanggup berhabis puluhan ribu ringgit untuk pulang dari luar negara. Undi kita penting, jangan berkira duit minyak RM50, RM100 atau RM200 (kerana) yang lawan kita balik dari Taiwan, China, Singapura, Amerika Syarikat dan Australia, duit tambang sekupang pun tak minta.”
Beliau juga berkata “Dia undi PH, dia jahanamkan kita. Hampa (anda) RM50 riuh merata, minta merata buat video dan tunjuk kat orang, buat malu. Kawan tu balik habis puluh ribu, sekupang dia tak minta pasai dia tau penting tanah ini untuk dikuasai.”
Saya faham memang pengundi PH ikhlas balik mengundi untuk mendapatkan semula mandat yang mereka berikan kepada PH pada 2018, ini adalah kelebihan dan sifat patriotik yang ada pada penyokong PH.
Namun ini bukan alasan untuk menghina pengundi PN kerana kita tidak tahu kedudukan kewangan mereka. Mereka ingin balik mengundi kamu (PN) walau keadaan kewangan mereka tidak mengizinkan.
Tetapi apa yang berlaku kamu hina mereka seolah mereka pengemis. Sepatutnya kamu berterima kasih kerana mereka, kamu berada di mana kamu berdiri hari ini.
Walau berbeza pandangan politik, saya ingin menasihati Sanusi untuk menghormati pengundi. Sebagai seorang yang bersatus Menteri Besar, tidak sepatutnya beliau mengeluarkan kenyataan yang menyinggung perasaan pengundi walaupun beliau biasa mengeluarkan kenyataan “bodoh”.
Sekian.