KUALA LUMPUR, 3 Dis – Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mendedahkan beliau adalah seorang daripada yang mewakili Pakatan Harapan (PH) dan KEADILAN merundingkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menerusi ciapan di Twitter malam tadi, Ahli Parlimen Pandan itu juga menyatakan akan memberi pandangannya mengenai perkara itu.
“Terima kasih atas segala tweets sejak keputusan PRU15.
“Saya salah seorang yang mewakili PKR/PH merundingkan Kerajaan Perpaduan.
“Tak cantik runding tapi bising di luar. Sekarang sudah tertubuh, Insya-Allah saya bagi pandangan selepas ini,” ciapnya.
Sebelum ini, langkah membisu diambil Rafizi yang juga Timbalan Presiden KEADILAN, selepas diumumkan sebagai anggota Kabinet, membuatkan namanya ‘trending’, di Twitter, hari ini.
Tinjauan di Twitter mendapati lebih 10,000 menulis ciapan berkaitan Rafizi.
Rata-rata pengguna Twitter juga tidak sabar melihat bagaimana Rafizi menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Ekonomi dalam kabinet yang baharu dibentuk Kerajaan Perpaduan.
Rata-ratanya berharap Rafizi menterjemahkan ‘formula’ disuarakan sebelum ini dalam usaha membantu rakyat terutama dalam menangani isu kos sara hidup.
Kementeriannya dijangka akan memfokuskan pentadbiran ekonomi peringkat kerajaan dan dasar merangsang ekonomi dalam masa terdekat termasuk isu kos sara hidup dan soal upah pekerja yang bersesuaian dengan kehidupan rakyat kini.