PORT DICKSON, 1 Dis – Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan sedia bekerjasama dan bergabung dengan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Dewan Negeri Undangan Negeri (DUN) yang dijadualkan pada tahun depan.
Pengerusinya, Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata sebarang keputusan kerjasama dengan BN akan diputuskan oleh kepimpinan tertinggi PH.
Menurutnya lagi, selaku pengerusi PH negeri, beliau tidak mempunyai masalah untuk kerjasama tersebut.
“Saya tiada ada masalah untuk negeri, nampaknya untuk sidang DUN kali ini nampaknya aman nampak damai dan kita ada kerjasama yang baik. Kita memang terbuka”, katanya kepada media.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Port Dickson sempena perasmian Majlis Penutup Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2022 di sini pada Rabu.
MSAM 2022 dianjurkan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sembilan dan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD).
Pada Pilihan Raya ke-14 lalu, PH memenangi 20 kerusi DUN, manakala BN memenangi 16 kerusi di Negeri Sembilan.