KUALA LUMPUR, 1 Dis – Aliran positif matawang negara menunjukkan petanda pengukuhan ekonomi negara semakin baik dalam masa seminggu selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik menjadi Perdana Menteri.
Sebagai contoh, Indeks FBM-KLCI Bursa Malaysia berada pada paras 1,494 mata pagi tadi berbanding 1,440 mata sehari sebelum Anwar mengangkat sumpah.
Sementara nilai ringgit terus mengukuh ke tahap yang sangat baik iaitu RM4.413 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) setakat tengah hari tadi.
Insya-Allah rakyat Malaysia percaya setelah barisan Ahli Jemaah Menteri yang baharu dinamakan dan matlamat serta dasar-dasar Kerajaan Perpaduan ini diumum nanti, keadaan akan jadi semakin baik untuk rakyat Malaysia.
Pada Isnin lalu, Anwar mengumumkan barisan Kabinet bakal dilantik secepat mungkin namun keanggotaannya akan dikecilkan saiznya sesuai dengan keadaan ekonomi semasa negara.
Selain itu, dasar baharu yang diperkenalkan kelak akan menambah keyakinan pelabur untuk kembali menanam modal di pasaran tempatan walaupun berdepan ketidak tentuan ekonomi global.
Prestasi ekonomi negara yang dipacu peningkatan eksport dan lebihan dagangan juga mampu menampung kehilangan hasil sejak dua tahun lalu.