KUALA LUMPUR, 29 Nov – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memulakan siasatan terhadap Tan Sri Abdul Hadi Awang selepas Presiden Pas itu didakwa menuduh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ejen Israel.
Setiausaha PDRM, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin mengesahkan pihaknya telah menerima laporan berhubung perkara itu.
“PDRM mengesahkan telah menerima laporan polis berhubung tuduhan oleh Abdul Hadi ke atas Anwar. Siasatan kes berkenaan sedang dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Noorsiah, kes itu disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak memecahkan keamanan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya.
“Malah kes turut disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana menghantar mesej dan gambar berunsur fitnah melalui akaun Facebooknya yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahannya,” katanya.
Abdul Hadi turut disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.
Ketua Penerangan KEADILAN, Fahmi Fadzil, semalam dilaporkan berkata Anwar meminta polis membuat siasatan terhadap fitnah terhadap dirinya itu.
Pada masa sama, Fahmi berkata KEADILAN juga akan mengambil tindakan undang-undang
Anwar, yang juga Presiden KEADILAN, mula diserang dengan dakwaan yang dikaitkan dengan Israel di media sosial sejak mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 24 November lalu.
Isu itu juga mula timbul apabila Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, mempersoalkan pendirian Anwar berhubung penahanan beberapa individu, termasuk rakyat tempatan yang disyaki terbabit dengan ejen perisikan Israel, Mossad sebelum ini.