KUALA LUMPUR, 28 Okt – Syed Saddiq Syed Abdul Rahman diarahkan membela diri atas tuduhan pecah amanah jenayah, penyelewengan wang dan pengubahan wang haram.
Hakim Azhar Abdul Hamid berkata, pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap bekas menteri belia dan sukan itu.
Syed Saddiq, 29, didakwa bersubahat dengan bekas penolong bendahari Pemuda Bersatu Rafiq Hakim Razali dalam pecah amanah jenayah membabitkan RM1 juta di CIMB Bank Bhd, Jalan Stesen Sentral 2, di sini, pada 6 Mac 2020.
Dia juga didakwa menyalahgunakan wang RM120,000 daripada akaun bank milik Armada Bumi Bersatu Enterprise untuk dirinya sendiri dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang tersebut di Malayan Banking Bhd Taman Pandan Jaya, di sini antara 8 hingga 21 April 2018.
Presiden Muda itu, yang juga bekas Ahli Parlimen Muar, turut berdepan dua tuduhan pengubahan wang haram melibatkan dua transaksi masing-masing RM50,000, di dalam akaun Maybank Islamic Bhd ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, di sebuah bank di Taman Perling, Johor Bahru, pada 16 dan 19 Jun 2018.
Azhar memutuskan demikian terhadap bekas Menteri Belia dan Sukan itu selepas berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya bagi kesemua pertuduhan.
Mahkamah menetapkan bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu membela diri bermula 13 Februari tahun depan.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613].
Beliau boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama, dan sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau hasil daripada aktiviti haram.
Timbalan Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Wan Shaharuddin Wan Ladin hadir mengetuai pasukan pendakwaan manakala peguam Gobind Singh Deo mengetuai pembelaan.