LONDON, 22 Okt – Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp yakin ikon Anfield, Steven Gerrard akan bangkit semula selepas dipecat sebagai pengendali Aston Villa.
Gerrard dipecat Villa sejurus selepas kekalahan 3-0 di Fulham – dengan pengendali itu serta pemain-pemain dicemuh penonton sebaik tamat perlawanan.
Gerrard menyertai Villa selepas berjaya membimbing Rangers menjuarai Liga Scotland pada tahun 2021, sekali gus menamatkan penguasaan Celtic buat sekian lama.
Malah dia dikatakan antara pengganti Klopp di Anfield sekiranya pengendali dari Jerman itu meninggalkan Liverpool.
“Saya pasti dia akan bangkit semula. Kami jarang bertemu, sebelum ini dia di Amerika dan kemudian bekerja di akademi.
“Saya sentiasa mengikuti perkembangannya, kami ada bercakap pagi tadi, tetapi sekadar perbualan biasa. Saya boleh bayangkan kekecewaannya kerana dia mempunyai cita-cita yang tinggi.
“Kita tidak perlu risau tentang Stevie, dia cukup kenal permainan ini dan tahu perkara sebegini boleh terjadi. Kita semua akan melaluinya, tetapi ia tentang bagaimana anda menanganinya,” kata Klopp.
Sepanjang bekerja di akademi remaja Liverpool pada tahun 2017, Gerrard dapat melihat cara Klopp membimbing pasukan.
Pengendali dari Jerman itu menggesa Gerrard, yang memenangi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dan Piala FA sebagai pemain Liverpool, untuk berehat sebentar dan kembali ke bidang pengurusan dengan mental lebih kuat.
“Dia akan kembali 100 peratus. Saya harap dia berehat dulu kerana selepas menamatkan kariernya sebagai pemain, dia terus bekerja sepanjang masa. Gunakan masa ini untuk berehat,” katanya.
– AFP