SEPANG, 4 Okt – Pelakon popular, Zul Ariffin didenda RM30,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sepang di sini, atas pertuduhan memuat naik kandungan bersifat sumbang dalam media sosial.
Zul yang didakwa mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Noorhisham Mohd Jaafar.
Media sebelum ini melaporkan kontroversi timbul apabila pelakon itu didakwa berkongsi video ‘babak panas’ bersama seorang pelakon wanita sebagai promosi sebuah drama bersiri, dalam Instagram, baru-baru ini.
Tindakan memuat naik ‘teaser’ sebuah drama bersiri itu mengundang kecaman warga maya, selain turut mendapat perhatian Menteri Komunikasi dan Multimedia.
Terdahulu, beliau bertindak memadam video ‘teaser’ drama bersiri Perempuan Itu yang menimbulkan kontroversi sejak semalam di Instagram.
Tinjauan ke akaun Instagram pelakon itu mendapati hantaran terbaharunya adalah hantaran Reels dengan keterangan ‘back to work’ atau kembali bekerja.
Usaha media mendapatkan kenyataan daripada Zul ketika itu tidak berjaya apabila panggilan telefon dan kiriman mesej tidak berbalas.
Zul dalam temu bual yang dikeluarkan sebelum ini berkongsi mengenai dirinya sebagai pelakon yang melakukan tugasnya tanpa membuat sebarang permintaan.