WANGSA MAJU, 8 Sep – Perayaan kuih bulan yang sinonim dengan masyarakat Cina, kini berubah wajah apabila kaum-kaum lain turut meraikan sambutan dengan menyemai semangat muhibbah dan perpaduan yang sedia terjalin di kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini.
Kuih Bulan Reformasi, merupakan produk tahunan yang dikeluarkan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), merupakan satu inisiatif tahunan bertujuan menyemarakkan lagi semangat berkenaan sempena menyambut Mid Autumn Festival atau lebih dikenali dengan perayaan Kuih Bulan.
Menjelang ketibaan perayaan ini, KEADILAN Wilayah Persekutuan setiap tahun menjalankan aktiviti pengagihan kuih bulan buat sajian enak masyarakat setempat dari Segambut di utara hinggalah Bandar Tun Razak di sempadan Selangor.
Bermula dari Bandar Tun Razak, Paderi Prince Jon, Naib Ketua Cabang KEADILAN Bandar Tun Razak mengetuai pasukannya untuk mengagihkan kuih bulan Reformasi kepada masyarakat di PPR Sri Pulau Pinang dan Jalan Ikan Emas.
Buat Pastor Jon, ini merupakan kali pertama beliau menjalankan aktiviti parti sebegini setelah memenangi pemilihan cabang pada Jun lalu.
“Program melibatkan masyarakat majmuk sebegini memupuk keharmonian dan perpaduan. Sekiranya dahulu saya hanya menyambut bersama kawan-kawan Cina saya, kini saya menyambut semua lapisan masyarakat”, ujar beliau ketika ditemui di Pasar Ikan Emas di sini baru-baru ini.
Turut hadir, Andre Lai, Naib Pengerusi KEADILAN Wilayah Persekutuan disertai oleh Puan Jamiliah, Ketua Wanita KEADILAN Cabang serta barisan jawatankuasa cabang yang mencerminkan keharmonian kaum di negara ini.
Andre yang juga Ketua Cabang KEADILAN Wangsa Maju turut giat menjalankan aktiviti agihan Kuih Bulan Reformasi di dalam Parlimen Wangsa Maju sebagai satu program wajib tahunan bagi menyemai rasa perpaduan dan kebersamaan yang diterapkan di parlimen ini sejak sekian lama.
Kegigihan beliau menggalakkan pemimpin-pemimpin Cina terus mendekati masyarakat majmuk dalam konteks ‘KEADILAN Untuk Semua’, mendapat respon baik daripada penduduk di kawasan ini.
Beliau berkata, perayaan ini tetap diadakan setiap tahun, termasuk dalam tempoh dua tahun penularan pandemik Covid-19, kerana simbolik asal-usul perayaan yang berkiaskan cerita reformasi di zaman purba kala kaum Cina.
“Cerita rejim dinasti yang kejam dapat diguilingkan, dengan menggunakan kuih bulan sebagai pengantara maklumat. Mesej ini dapat memberi motivasi, bahawa KEADILAN juga mampu mencetuskan revolusi dalam memartabatkan agenda reformasi seperti mana logo KEADILAN memenangi PRU14 lalu,” ujar Andre.
Sepanjang bulan September, Andre telah menggerakkan pasukannya bersama ahli-ahli cabang ke kawasan tradisi tumpuan masyarakat Cina seperti pasar pagi di Seksyen 2 dan Teratai Mewah.
KEADILAN Wangsa Maju juga aktif mengagihkan set kuih bulan Reformasi kepada masyarakat di Kampung Padang Balang dan Kampung Sungai Merali, satu inisiatif untuk mengeratkan hubungan antara masyarakat majmuk di kawasan setempat.
Ini bertepatan dengan semangat KEADILAN yang menetapkan kuih bulan Reformasi dijadikan sebagai aktiviti tahunan.
Setiap tahun, pemimpin-pemimpin Cina KEADILAN menjalankan penjualan kuih bulan seawal tiga minggu sebelum perayaan Kuih Bulan.
Perayaan kuih bulan untuk tahun ini akan jatuh pada 10 September 2022 dan dijangka edaran kuih bulan ini akan lebih rancak menjelang tarikh tersebut di seluruh negara.