Connect with us

Hi, what are you looking for?

MEDIA RANIA

Jenayah

‘Cek RM118,485 Atas Nama Syarikat Kereta Dideposit Dalam Akaun Bank’

Kongsikan Artikel Ini

KUALA LUMPUR, 7 Sep – Mahkamah Tinggi dalam perbicaraan kes bekas pengerusi Felda, Shahrir Ab Samad hari ini diberitahu bahawa cek berjumlah RM118,485 telah didepositkan ke dalam akaun Public Bank atas nama sebuah syarikat kereta.

Pengurus Perkhidmatan Perbankan Public Bank Berhad Cawangan Taman Sentosa, Johor Bahru, Seah Yeow Hwee, 59, berkata berdasarkan salinan penyata bank, terdapat kemasukan wang ke dalam akaun Public Bank pada 27 Disember 2013.

“Saya sahkan ini adalah salinan imej cek Public Islamic Bank atas nama Sutera Auto Sdn Bhd berjumlah RM118,485 bertarikh 21 Disember 2013. Berdasarkan cop pada bahagian belakang cek tersebut, saya sahkan bahawa cek ini didepositkan ke dalam akaun Public Bank atas nama Sutera Auto Sdn Bhd,” katanya.

Saksi pendakwaan ke-14 itu berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya pada perbicaraan kes Shahrir yang berdepan pertuduhan gagal mengisytiharkan RM1 juta yang diterima daripada bekas Perdana Menteri, Najib Tun Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Pada prosiding sebelum ini, Eksekutif Akaun Sutera Auto Sdn Bhd, Rozana Khalid memberitahu mahkamah bahawa Shahrir telah membuat pembayaran penuh bagi pembelian sebuah kereta jenis Honda Civic Hibrid bernilai RM118,485 menggunakan sekeping cek.

Dalam pernyataan pembukaan sebelum ini, pihak pendakwaan akan membuktikan Shahrir terlibat secara langsung dengan aktiviti pengubahan wang haram apabila memperoleh wang berjumlah RM1 juta daripada Najib dan dimasukkan ke dalam akaun bank Public Islamic miliknya melalui sekeping cek bertarikh 27 November 2013.

Sementara itu, Seah yang telah berkhidmat di Public Bank Berhad selama 38 tahun itu bersetuju dengan peguam Syahrul Syazwan Salehin, yang mewakili Shahrir, bahawa berdasarkan salinan cek dan penyata bank, transaksi RM118,485 berlaku tanpa sebarang masalah.

Syahrul Syazwan: Berdasarkan dokumen iaitu salinan cek dan penyata bank, tiada sebarang isu dibangkitkan dalam transaksi ini (RM118,485) berkenaan dengan pengubahan wang haram pada ketika itu?

Seah: Tiada apa-apa yang mencurigakan.

Dalam pada itu seorang lagi peguam yang mewakili Shahrir, Syed Faisal Al-Edros Syed Abdullah Al-Edros memohon agar pihak pendakwaan menyediakan pernyataan saksi bagi saksi yang bakal dipanggil dan diserahkan kepada pembelaan sebelum perbicaraan, berikutan dua saksi yang memberi keterangan tidak disertakan dengan penyataan berkenaan.

“Kami juga mohon agar lebih ramai saksi dapat dipanggil (pada hari perbicaraan) supaya proses (perbicaraan) dapat disegerakan,” katanya.

Hakim Muhammad Jamil Hussin meminta pihak pendakwaan mengambil maklum perkara yang dibangkitkan oleh pihak pembelaan itu.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd ‘Afif Ali berkata pihaknya mengambil maklum perkara itu dan akan memanggil enam lagi saksi untuk memberi keterangan dan tiga daripadanya adalah saksi penting.

Shahrir, 72, didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang cukai pendapatan yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967, iaitu tidak mengisytiharkan pendapatan diterima daripada Najib berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek yang kemudian dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di LHDN Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini pada 25 April 2014 mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Muhammad Jamil bersambung 3 Oktober ini.

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Jangan lupa baca ini...

Nasional

Kongsikan Artikel IniSHAH ALAM, 25 Sep – Pakatan Harapan (PH) tidak akan membuka pintu rundingan dengan mana-mana parti daripada Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi...

Nasional

Kongsikan Artikel IniKANGAR, 25 Sep – Mana-mana kerajaan yang bertanggungjawab akan memanggil Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dalam keadaan paling sesuai dengan mengambil kira...

Nasional

Kongsikan Artikel IniKUALA LUMPUR, 25 Sep – Seorang pemimpin Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) berkata, akar umbi parti itu boleh menjadi “lemah semangat” jika Pakatan...

Nasional

Kongsikan Artikel IniKUALA LUMPUR, 24 Sep – Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim berkata Pakatan Harapan (PH) sukar melakukan reformasi ketika mentadbir 22 bulan di bawah...

Copyright © 2021 Media Rania - LIVE ON NEW SERVER