Connect with us

Hi, what are you looking for?

MEDIA RANIA

Komuniti

iDAM – Aminuddin Bangga Empat PBT Negeri Sembilan Diiktiraf Terbaik

Kongsikan Artikel Ini

SEREMBAN, 21 Ogos – Sebanyak empat pihak berkuasa tempatan (PBT) di Negeri Sembilan muncul antara yang terbaik daripada keseluruhan 101 PBT di seluruh negara.

Empat PBT terbabit ialah Majlis Daerah Rembau (MDR), Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Majlis Perbandaran Jempol (MPJL) dan Majlis Daerah Jelebu (MDJ).

Menteri Besar, Dato’ Seri Aminuddin Harun, yang menzahirkan rasa bangga atas penganugerahan tertinggi itu berkata, MDR berjaya menerima anugerah Bandar Berdaya Huni Tertinggi 2021 oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan tersenarai antara 10 bandar berdaya huni tahap tertinggi.


“Indeks Daya Huni Malaysia (iDAM) adalah kaedah pengukuran berimpak tinggi yang mengukur tahap kesejahteraan penduduk di peringkat PBT dan komuniti.

“Diterajui oleh KPKT, iDAM adalah selaras dengan pengukuran dan penilaian kesejahteraan penduduk sesebuah bandar yang dipraktikkan di peringkat global,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, iDAM dibangunkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia).


iDAM menjadi antara petunjuk penting dalam perkembangan dan pembangunan ekonomi sesebuah kawasan untuk meningkatkan tahap kesejahteraan penduduk peringkat kawasan PBT.

Daya huni bermaksud kawasan atau penempatan itu berupaya memenuhi keperluan kehidupan dari aspek ekonomi, pendidikan, kesihatan, keperluan asas, infrastruktur, persekitaran hijau yang bersifat lestari dan kalis masa depan.

Aminuddin berkata, pihaknya yakin pengiktirafan dan anugerah itu akan dapat menaikkan semangat kakitangan PBT berkenaan dalam merancang serta melaksanakan perkhidmatan terbaik untuk kesejahteraan penduduk.


Dalam perkembangan berkaitan, Negeri Sembilan turut dinobatkan sebagai negeri paling bahagia melalui pengumuman yang dibuat oleh PLANMalaysia pada 2 April lalu.

“Pengiktirafan ini diberikan kerana semua daerah dalam negeri mendapat skor melebihi 80 peratus dalam Indeks Kebahagiaan 2021 bagi bandar di Malaysia.

“Tujuh daerah di Negeri Sembilan yang mempunyai 1.2 juta penduduk mencatatkan skor penuh, dengan Tampin dinobatkan antara 10 Bandar Paling Bahagia Malaysia dengan pencapaian skor tertinggi 99.5 peratus, diikuti Jelebu (97.85 peratus), Jempol (89.07 peratus), Kuala Pilah (88.39 peratus), Port Dickson (85.76 peratus), Seremban (83.60 peratus) dan Rembau (81.91 peratus),” tambah Aminuddin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan.


Justeru satu majlis yang diberi nama ‘Negeri Sembilan Nan Bahagia’ telah dilaksanakan di Dewan Perdana Tampin baru-baru ini sempena mengenang kejayaan Negeri Sembilan diiktiraf negeri paling bahagia di Malaysia.

Majlis tersebut turut menampilkan wacana yang melibatkan Profesor Emeritus Datuk Dr Hood Salleh, Universiti Kebangsaan Malaysia; YB Dato’ Dr Razali Ab Malik, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan serta YBrs TPr Haji Hassan Yaakob, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) PLANMalaysia.

“Ukuran sebagai negeri bahagia dengan semua daerah di Negeri Sembilan mencapai tahap 80% skor adalah sebuah penghormatan kepada Kerajaan Negeri Sembilan.


“Kerajaan negeri percaya walau apapun ukurannya, tekad untuk memberikan khidmat terbaik selaras dengan motto ‘Bersih, Muafakat, Sejahtera’ akan terus dipacu.

“Sejak mentadbir kerajaan Negeri Sembilan pada 9 Mei 2018 sehingga hari ini, Kerajaan Negeri sedar amanah yang diberikan amatlah berat. Berkat inayah daripada Allah SWT, kebijaksanaan Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan sebagai payung tonggak negeri, jentera pentadbiran kerajaan, kecekapan penjawat awam, partisipasi rakyat dan taat setia mereka telah menyaksikan pelbagai siri kejayaan dan pencapaian dinikmati,” tambahnya.

Ikuti platform media sosial rasmi Menteri Besar Negeri Sembilan seperti berikut:

Facebook: https://fb.com/dsaminuddinharun

Twitter: https://twitter.com/MenteriBesarNS

Instagram: https://instagram.com/dsaminuddinharun

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Jangan lupa baca ini...

Negeri

Kongsikan Artikel IniSEREMBAN, 28 Jan – Kejayaan sesebuah negara banyak bergantung kepada pemeliharaan perpaduan antara kaum serta memupuk generasi akan datang tentang kepentingan menjaga...

Jenayah

Kongsikan Artikel IniKUANTAN, 26 Jan – Dua ahli perniagaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini atas tuduhan membuat dua tuntutan palsu kepada Pertubuhan...

Negeri

Kongsikan Artikel IniSEREMBAN, 26 Jan – Dato’ Seri Aminuddin Harun memohon agar para peniaga di daerah Port Dickson supaya tidak mengenakan harga barangan dan...

Negeri

Kongsikan Artikel IniKOTA KINABALU, 26 Jan – Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada komponen Pakatan Harapan (PH) iaitu DAP dan KEADILAN, adalah di...

Copyright © 2021 Media Rania - LIVE ON NEW SERVER