WANGSA MAJU, 16 Ogos – Tanpa mengharapkan bantuan daripada agensi kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang seakan tak kunjung tiba, KEADILAN Cabang Wangsa Maju mengorak langkah membantu seorang penduduk di Taman Melati, dekat sini, meneruskan kehidupan sehariannya.
Menurut Ketua Cabangnya, Andre Lai, beliau menerima maklumat bahawa salah seorang penduduk di kawasan Naib Ketua Cabang, Azmee yang memerlukan sebuah kerusi roda bagi membantu Ayim bergerak, KEADILAN Wangsa Maju terus menghulurkan bantuan kepadanya.
Tanpa mengira kaum atau agama, KEADILAN Wangsa Maju tampil membantu Ayim atau nama sebenarnya Ahmad Nurul Hazzariq Ahmad Kamal Ariffin yang terlibat dalam satu kejadian tikaman di dada kira-kira 10 tahun lalu dan kini lumpuh dari paras dada hingga ke kaki.
Anak muda gigih dan bersemangat ini mencari pendapatan dengan hasil usaha sendiri dengan menjual kopi di hadapan sebuah kedai serbaneka di Taman Melati setelah kejadian tersebut menimpa beliau dan kini menetap di rumah teres bersama lima orang adik-beradiknya, mendapat perhatian segera daripada KEADILAN Wangsa Maju.
“Hari ini, kami dalam pasukan berbilang kaum datang menyantuni masalah seorang anak muda yang berani berdepan dengan masa hadapan meskipun dalam keadaan serba kekurangan.
“Apabila Azmee (Naib Ketua Cabang) menghubungi saya berkenaan keperluannya untuk mendapatkan kerusi roda khusus untuk ke bilik air, kami terus mengusahakan kerusi roda yang khas, tanpa perlu menunggu daripada pihak JKM,” ujar Andre di Facebooknya pada Isnin.
Tindakan pantas KEADILAN Wangsa Maju menghulurkan bantuan segera membuktikan bahawa kesungguhan mereka membantu anak muda seperti Ayim meneruskan kehidupan amat dihargai kerana yang paling baik adalah, mereka mampu mendapatkan pendapatan tanpa perlu bergantung dengan orang lain.
“KEADILAN Wangsa Maju sentiasa bersifat muhibbah dalam hal ehwal kemasyarakatan,” jelas Andre.
Ayim sekeluarga amat gembira kerana bantuan kerusi roda berkenaan membolehkan beliau bergerak dengan lebih lancar sama ada di dalam rumah mahupun ketika menguruskan perniagaan kopi beliau.
Andre dan KEADILAN Wangsa Maju berharap bantuan berkenaan dapat menaikkan semangat Ayim dan adik-beradiknya mencari rezeki untuk terus mara ke hadapan dengan aura positif tanpa perlu menoleh ke belakang lagi.
“Ayim dan keluarga cukup gembira. Yang paling baik adalah, mereka mampu mendapatkan pendapatan tanpa perlu bergantung dengan orang lain.
“Pendorongan sebegini kami berharap dapat menaikkan semangat adik Ayim untuk terus mara kehadapan dengan aura positif,” kata Andre lagi.