LONDON, 23 Jun – Mereka menyatakan semua perkara dalam hidup datang secara bertiga. Dalam bola sepak, penggempur terbaik pun tiga serangkai.
Revolusi Pep Guardiola di Barcelona ketika itu pernah dipertikaikan sebelum terbukti berkesan dalam bola sepak moden dan mengatasi taktikal dua penyerang.
Sudah pasti, formasi pengurus berubah-ubah mengikut situasi perlawanan, tetapi terbukti penggunaan trio lebih berbisa.
Bagi tempoh beberapa tahun, Barcelona digeruni dengan kehebatan gandingan M-S-N iaitu Lionel Messi, Luis Suarez dan Neymar.
PSG dilihat berbelanja besar dan cuba membina sesuatu seumpamanya, tetapi setakat ini belum cukup berkesan.
Manakala Liverpool turut berhasil mencipta tiga serangkai pemusnah paling berbisa dalam bola sepak, walaupun mereka akhirnya terpisah pada minggu ini.
Ia berikutan Sadio Mane menyertai Bayern Munich kerana keinginannya untuk merasakan cabaran baharu. Bersama Mohamed Salah dan Roberto Firmino, Mane membantu membawa beberapa trofi ke Anfield dan berhijrah dalam keadaan menjadi pujaan peminat.
Secara keseluruhan, trio Mane, Salah dan Firmino, bermain 105 perlawanan liga dan menjaringkan 144 gol, malah pada musim pertama digandingkan sebagai trio, mereka mara ke final Liga Juara-Juara Eropah.
Lebih menakjubkan, trio itu menjaringkan 30 gol dengan masing-masing menyumbang 10 gol untuk perhitungan di Ukraine.
Pada tahun berikutnya, mereka memenangi Liga Perdana Inggeris, Piala FA, Piala Carabao dan Piala Kelab Dunia, selain Liga Juara-Juara Eropah.
Secara keseluruhan, mereka bermain 105 perlawanan liga dan Salah menjaringkan 65 gol dan melakukan 21 bantuan jaringan manakala Mane menjaringkan 44 gol dan 17 bantuan jaringan. Firmino menjaringkan 35 gol dan 16 bantuan jaringan.
Bagaimanapun, terdapat beberapa trio lagi yang digeruni misalnya Gareth Bale, Karim Benzema dan Cristiano Ronaldo yang bermain 69 perlawanan liga dan menjaringkan 158 gol untuk Real Madrid.
Gandingan Lionel Messi, Luis Suarez dan Neymar bermain 67 perlawanan liga untuk Barcelona dan menjaringkan 153 gol.
Manchester United turut memiliki trio digeruni membabitkan Wayne Rooney, Cristiano Ronaldo dan Carlos Tevez yang bermain 21 perlawanan liga dan menjaringkan 40 gol.