LUNDU, 22 Jun – Laluan sukar menanti ahli parlimen yang khianat kepada rakyat dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu, termasuk Willie Mongin.
Ini setelah Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) hanya akan mendengar pandangan daripada tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam kawasan Parlimen Puncak Borneo, sebelum membuat apa-apa ketetapan berhubung permohonan Ahli Parlimen itu untuk menyertai PBB.
Naib Presiden PBB, Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata pandangan daripada Roland Sagah Wee Inn (ADUN Tarat), Dr Jerip Susil (Mambong) dan Miro Simuh (Serembu) akan diambil kira sebelum perkara itu diputuskan.
“Mereka (Majlis Tertinggi) juga perlu berunding dengan pemimpin akar umbi seperti ketua masyarakat kaum Bidayuh di kawasan itu,” katanya kepada media selepas melancarkan pertandingan Miss Tourism International Friendship Pathway.
Isnin lalu, Willie yang juga timbalan menteri perusahaan perladangan dan komoditi dan menjadi ahli parti Bersatu, telah mengesahkan bahawa beliau telah menghantar permohonannya untuk menyertai PBB beberapa bulan lalu, dengan mendakwa bahawa selama ini beliau “secara teknikal” diletakkan dalam parti Bersatu bagi menyokong kerajaan semasa.
Namun khabarnya PBB masih tidak dapat membuat keputusan berkaitan permohonan berkenaan walaupun kedudukan Willie di parlimen itu juga masih menjadi tanda tanya, terutama kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Willie memenangi kerusi parlimen Puncak Borneo pada pilihan raya umum ke-14 atas tiket KEADILAN, namun diketepikan oleh parti itu selepas beliau bersama 10 Ahli Parlimen KEADILAN menarik balik sokongan kepada kerajaan Pakatan Harapan semasa peristiwa “Langkah Sheraton”, sebelum menyertai Bersatu.