SEREMBAN, 21 Jun – Penantian para peneroka di dua tanah rancangan FELDA di Negeri Sembilan, berakhir.
Ini berikutan para peneroka FELDA Raja Alias 1 dan 2 menerima geran hak milik yang dinantikan mereka sejak tahun 2010, pada satu majlis baru-baru ini.
Ini bermakna, kesemua peneroka di 36 tanah rancangan di negeri ini telah menerima geran tanah masing-masing.
Menurut Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Aminuddin Harun, terdapat beberapa isu yang menyebabkan para peneroka di FELDA berkenaan lewat menerima geran.
“Menyedari kepentingan isu ini terhadap rakyat di kawasan tersebut, Kerajaan Negeri melalui Pejabat Daerah dan Tanah Jempol telah mengambil inisiatif mempercepatkan pengambilan dan bayaran pampasan pengambilan tanah,” ujar beliau menerusi hantaran di Facebook rasminya hari ini.
Beliau menambah, sekiranya langkah tersebut tidak dilaksanakan, para peneroka berkemungkinan terpaksa menunggu lebih lima tahun lagi, walhal peneroka di FELDA Raja Alias 3 dan 4 telah menerima geran mereka jauh lebih awal.
“Dengan selesainya penyerahan tersebut, maka kesemua 36 tanah rancangan di Negeri Sembilan telah menerima geran hak milik,” tambah Aminuddin.
Aminuddin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan berharap agar para pemilik berwaspada dengan pihak-pihak tidak bertanggungjawab yang ingin mengambil kesempatan terhadap mereka.
“Besarlah harapan saya agar para pemilik berwaspada dengan pihak-pihak tidak bertanggungjawab yang ingin mengambil kesempatan terhadap mereka.
“Sungguh, pelbagai usaha telah dilakukan bagi membolehkan tanah tersebut menjadi hak milik mereka,” katanya.
Di Negeri Sembilan, terdapat 49 tanah rancangan Felda dan 36 tanah rancangan pula berada di dalam daerah Jempol membabitkan Felda gugusan Palong, gugusan Pasoh, gugusan Lui, gugusan Serting Hilir dan gugusan Raja Alias.
“Felda Raja Alias Satu dan Dua mula diduduki sekitar tahun 1978 hingga tahun 1980 an. Pada asalnya mereka menanam getah dan kini sudah bertukar kepada kelapa sawit. Peneroka turut menikmati limpahan pembangunan Bandar Seri Jempol yang berada di tengah-tengah gugusan,” tambah beliau lagi.
Ikuti platform media sosial rasmi Menteri Besar Negeri Sembilan seperti berikut:
Facebook: https://fb.com/dsaminuddinharun
Twitter: https://twitter.com/MenteriBesarNS
Instagram: https://instagram.com/dsaminuddinharun