KUALA LUMPUR, 19 Jun – Jenazah penyanyi dan pelakon versatil, Allahyarhamah Adibah Noor Mohamed Omar, 51, selamat disemadikan pada jam 11.31 pagi di Tanah Perkuburan Islam Taman Permai, di sini, hari ini.
Pelantun lagu “Terlalu Istimewa” itu menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 7.45 malam Sabtu (18 Jun) di sebuah hospital swasta di ibu negara, akibat kanser ovari.
Terdahulu, jenazah Allahyarhamah selesai dimandi, dikafan dan disolatkan di Masjid Al Ansar di sini.
Ratusan hadirin termasuk ahli keluarga, sahabat dan rakan artis tampil memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham.
Antara rakan selebriti yang hadir memberikan penghormatan terakhir ialah penyanyi dan komposer M. Nasir, Anuar Zain, Hans Isaac, dan pelakon Remy Ishak.
Untuk rekod, kemunculan awal Allahyarham di layar perak bermula pada tahun 2005 dalam filem antaranya “Sepet”, “Gubra” dan “Mukhsin” karya sutradara allahyarhamah Yasmin Ahmad, dan sejak itu beliau membuat kemunculan dalam puluhan drama televisyen dan filem tempatan.
Antaranya “Oh! My English”, “Debat Lebat”, “Super Spontan” dan banyak lagi.
Dalam dunia nyanyian, beliau sempat merakamkan dua buah album studio iaitu “Terlalu Istimewa” (2005) dan “Teman” (2010), selain turut merakamkan banyak single khas, termasuk duet bersama penyanyi lain.
Beliau turut berkongsi pentas bersama rakan artis dalam rancangan realiti terbitan Astro iaitu Gegar Vaganza 8 (GV8) dan mendapat tempat keempat.
– Awani