Connect with us

Hi, what are you looking for?

MEDIA RANIA

Pendapat

Kelantangan Rafizi Buka Cabaran Baharu Saf Kepemimpinan KEADILAN

Kongsikan Artikel Ini

PENDAPAT, 13 Jun – Keputusan Pilihan Raya Umum (PRU-14) menyaksikan buat kali pertamanya Umno-Barisan Nasional (BN) tumbang daripada tampuk kekuasaan selepas lebih 60 berada di puncak kuasa.

Antara faktor keyakinan rakyat goyah terhadap kerajaan menjelang pilihan raya itu adalah kerana terdapatnya pelbagai pembongkaran isu salah laku dalam urus tadbir kerajaan ketika itu.

Rafizi Ramli yang baru-baru ini memenangi jawatan Timbalan Presiden pada Pemilihan KEADILAN 2022 melalui kiraan tidak rasmi, menjadi antara aktor paling lantang mengangkat isu berkenaan dalam setiap kempen dan gerak kerja politiknya.

Rafizi juga dianggap sebagai pusat maklumat pembangkang yang berjaya menggoyahkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan.

Meskipun tidak semua isu diketengahkan Rafizi berasas atau tepat, dalam politik isu dan sentimen diulang siar secara kerap mampu mengajak rakyat berfikir sebelum sesuatu pilihan dibuat di peti undi.


Justeru, kemenangan Rafizi merebut jawatan Timbalan Presiden dengan menewaskan seorang lagi calon, iaitu Setiausaha Agung KEADILAN yang juga Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Saifuddin Nasution Ismail, mampu memperkuatkan kembali KEADILAN.

Keputusan pemilihan juga menunjukkan beberapa pemimpin kanan parti tewas dalam saingan merebut jawatan Naib Presiden KEADILAN yang dimenangi Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari; Ahli Parlimen Tanjong Malim, Chang Lih Kang; Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun (38,894 undi).

Kemenangan itu menjadi isyarat jelas anggota akar umbi mahu KEADILAN kembali semula ke landasan reformasi. Ia juga menjadikan strategi meyakinkan rakyat sebagai formula kemenangan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu harus dikembalikan, manakala sebarang bentuk jajaran politik baharu melalui pendekatan khemah besar perlu ditolak.

Ia sepatutnya menjadi landasan kepada memperkuatkan kerjasama politik membabitkan KEADILAN, Parti Amanah Negara (AMANAH), DAP dan beberapa parti lain sekiranya Pakatan Harapan (PH) mahu mengimbangi kebangkitan semula UMNO-BN.


Pada masa sama, kemenangan Rafizi tidak sepatutnya dianggap sebagai ancaman kepada pengaruh Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam parti. Gandingan Anwar-Rafizi perlu menjadi kekuatan baharu kepada KEADILAN dalam menghadapi PRU-15.

Apatah lagi, kemenangan Rafizi itu turut disokong Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar, sekali gus menjadi pilihan terbaik akar umbi membentuk pemimpin pelapis muda dalam KEADILAN.

Hakikatnya, perjuangan politik atas landasan kesetiaan kepada pemimpin semata-mata tidak akan membawa pembaharuan kepada KEADILAN.

Atas faktor itu, akar umbi memberikan kemenangan kepada Rafizi dengan hasrat mengembalikan semula parti itu ke landasan reformasi yang sebelum ini dilihat agak kendur.

Kemenangan Rafizi yang bersikap lantang itu juga sebenarnya membuka cabaran baharu dalam saf kepemimpinan KEADILAN. Hal ini kerana umum mengetahui Rafizi dan Anwar mempunyai pendekatan politik berbeza.

Justeru, ‘pertembungan’ ideologi antara Anwar dan kelompok pimpinan muda yang baharu, seharusnya ditangani secara berhemah. Oleh itu, Anwar sendiri perlu bersedia menerima secara terbuka idea baharu bagi memastikan KEADILAN terus kekal relevan.

Kelompok ‘pro-Anwar’ yang kalah dalam pemilihan harus bersama menyokong saf kepemimpinan baharu dan membuang persepsi Rafizi sebagai ancaman kepada parti. Turut bersama Rafizi adalah Nurul Izzah yang sebelum ini dijulang parti itu sebagai puteri reformasi.

Sudah tentu mustahil kehadiran Nurul Izzah bersama Rafizi bertujuan mahu menggugat kuasa dan pengaruh bapanya dalam parti, sebaliknya kumpulan itu menawarkan pendekatan politik baharu bukan sahaja kepada KEADILAN, bahkan PH sendiri.

Dr Ilyas Abdullah merupakan Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Raub

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Jangan lupa baca ini...

Pendapat

Kongsikan Artikel IniPENDAPAT, 3 Jul – Ketika BN kalah pada PRU14 lalu, Presiden UMNO waktu itu, Najib Razak sedang terhimpit rapat dengan skandal 1MDB...

Pendapat

Kongsikan Artikel IniPENDAPAT, 2 Jul – Di antara 2016 ke 2018, seramai 44,000 sukarelawan telah berkhidmat membantu calon-calon Pakatan Harapan dalam PRU2018. Mereka direkrut,...

Pendapat

Kongsikan Artikel IniPENDAPAT, 30 Jun – Desas-desus UMNO berdepan pergolakan dalaman sudah lama didengari hingga wujud persepsi ada dua kumpulan dominan berusaha menguasai parti...

Pendapat

Kongsikan Artikel IniPENDAPAT, 29 Jun – Antara perkara yang didedahkan oleh bekas ahli MT yang dipecat, Tajuddin Abdul Rahman dalam sidang medianya semalam ialah...

Copyright © 2021 Media Rania - LIVE ON NEW SERVER