SEREMBAN, 9 Jun – Kerajaan Negeri Sembilan menyasarkan dua buah mukim iaitu Ampangan dan Rompin pada tahun ini sebagai tumpuan penghijauan Kawasan Berisiko Tinggi (KBT) bagi membanteras masalah penyalahgunaan dadah dalam komuniti.
Iltizam itu dizahirkan Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Aminuddin Harun yang berkata, usaha ini dapat dijayakan menerusi kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bersama beberapa pihak berkepentingan termasuk sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta komuniti setempat bagi memastikan usaha penghijauan KBT dapat dicapai.
“Kita telah melaksanakan Projek Penghijauan Felda Sungai Kelamah, Tampin pada tahun 2019 dengan menyasarkan pencapaian pada tahun 2023.
“Alhamdulillah, berdasarkan kriteria Penghijauan Kawasan Peringkat Kebangsaan, Felda Sungai Kelamah dapat dihijaukan lebih awal iaitu pada bulan Mac lepas dan selepas ini kita akan tumpukan pula di kawasan mukim Ampangan, Seremban dan Rompin, Jempol secara berpusat dan berstrategi,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Peringatan Hari Antidadah Kebangsaan (HADK) 2022 Peringkat Negeri Sembilan di Kompleks Belia dan Sukan Paroi, di sini, pada Khamis.
Dalam pada itu, Aminuddin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan menyeru semua pihak agar membantu serta merujuk individu diketahui mempunyai masalah dalam penyalahgunaan dadah untuk tampil mendapatkan rawatan dan menjalani sesi pemulihan secara sukarela.
“Kita turut berharap ada kesedaran dan sokongan dari masyarakat untuk sama-sama membantu klien ini agar mereka tidak kembali terjebak dalam dadah. Saya yakin ada potensi untuk mereka kembali pulih jika kita beri sokongan kepada mereka,” katanya.
Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, AADK telah memperluaskan akses rawatan di luar premis melalui perkhidmatan Mobile Recovery Treatment (MRT).
“Besar harapan saya, kita dapat menguar-uarkan perkhidmatan MRT AADK, agar mereka yang memerlukan dapat akses Program Rawatan dan Pemulihan Dalam Komuniti,” tambah beliau.
Ikuti platform media sosial rasmi Menteri Besar Negeri Sembilan seperti berikut:
Facebook: https://fb.com/dsaminuddinharun
Twitter: https://twitter.com/MenteriBesarNS
Instagram: https://instagram.com/dsaminuddinharun