SEGAMAT, 30 Apr – Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat, begitulah betapa akrabnya hubungan antara ahli parlimen dengan ketua-ketua kampung serta wakil FELDA di parlimen Sekijang.
Bertepatan dengan pepatah itu, Pusat Khidmat Parlimen Sekijang dengan kerjasama ranting KEADILAN mengadakan sesi libat urus menyelaras Program Jualan Mega Aidilfitri 2022 peringkat Parlimen Sekijang.
Menurut Ahli Parlimen Sekijang, Natrah Ismail, pihaknya kerap mengadakan pertemuan bersama wakil masyarakat bagi mengetahui masalah yang berlaku serta menyalurkan peruntukan yang disediakan.
Ini ditambah lagi dengan kedatangan 1 Syawal yang akan disambut beberapa hari lagi termasuk program ziarah kasih serta pelbagai program bersama rakyat yang diadakan sepanjang Ramadan tahun ini.
“Sesi pertemuan YB Ahli Parlimen Sekijang bersama Ketua-ketua Kampung serta Pengurus & wakil-wakil Felda Redong bagi taklimat penyelarasan Program Jualan Mega Aidilfitri Tahun 2022 peringkat Parlimen Sekijang,” ujar Natrah menerusi Facebook beliau pada Isnin.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua 14 ketua kampung serta pengurus dan wakil FELDA yang hadir membincangkan pelaksanaan program berkenaan.
“Terima kasih kerana begitu erat kerjasama antara 14 Ketua Kampung iaitu Tahang Rimau, Bumbun, Kampung Jawa, Felda Medoi, Kampung Tengah, FELCRA Sekijang, Felda Kemelah, Kampung Sedeng, Paya Pulai, Genuang Baru, Melayu Raya, Paya Besar, Kampung Tekam, Pogoh Tengah serta 3 Pengurus dan wakil Felda Redong, Pemanis 1 & 2.
“Banyak juga perkara yang dapat dibincangkan bersama serta dapat mengeratkan lagi perhubungan antara ketua-ketua kampung di bawah Parlimen Sekijang dan Felda Redong, Pemanis 1 & 2 demi kemajuan dan kesejahteraan rakyat,” tambahnya.
Pada mesyuarat berkenaan yang diadakan di pejabatnya, Natrah turut menyampaikan sumbangan kepada ketua-ketua kampung dan wakil FELDA yang hadir sebagai persediaan kawasan masing-masing menyambut Aidilfitri yang dijangka Selasa ini.