KUALA LUMPUR, 24 Apr – Lebih 500 penduduk terdiri daripada golongan asnaf dari segenap pelusuk Wangsa Maju hadir ke Majlis Sumbangan Hari Raya Keluarga Asnaf Parlimen Wangsa Maju pada petang Sabtu.
Sumbangan telah disampaikan sendiri Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datin Paduka Dr Tan Yee Kew kepada para asnaf yang layak berdasarkan data terkini yang diperolehi.
Pegawai Khas Ahli Parlimen Wangsa Maju, Andre Lai berkata, sebanyak RM100 ribu telah diperuntukkan khas untuk sumbangan ini.
“Sumbangan ini adalah yang paling besar yang julung-julung kali diadakan di parlimen Wangsa Maju.
“Sumbangan ini untuk membantu keluarga-keluarga yang terkesan akibat pandemik dan keadaan ekonomi rakyat yang masih gawat,” jelas Andre.
Penerima terpilih daripada kalangan keluarga B40 yang berpendapatan bawah RM1500 dan mempunyai tanggungan. Setiap daripada penerima terpilih menerima sumbangan ‘duit raya’ sebanyak RM200 setiap seorang.
“Kami cuba memahami masalah rakyat sekarang, ramai yang kini menganggur, walaupun sumbangan ini tidak seberapa tapi saya berharap dapat meringankan beban mereka.
“Kita mahu Aidilfitri tahun ini kembali bermakna, kita mahu lihat anak-anak mereka tersenyum riang dan gembira menyambut Syawal yang bakal tiba. Itu sudah cukup memuaskan hati saya,” tambah Andre lagi.
Minggu lalu, Dr Tan turut menyampaikan sumbangan kepada surau-surau sekitar Wangsa Maju dengan nilai keseluruhan hampir RM200 ribu.
“Kita telah sampaikan sumbangan kepada 56 buah surau yang memohon peruntukan untuk menaiktaraf kemudahan surau.
“Surau-surau yang tidak memohon pula mendapat sumbangan RM 2,000. Kita mahu pentadbir surau dapat mengimarahkan surau mereka untuk Ramadan ini, lagipun kelonggaran berjemaah telah diberikan, kita harap pihak surau dapat memainkan peranan memupuk semangat muhibbah pada bulan Ramadan ini,” jelas Andre.
Sempena Ramadan tahun ini, pelbagai program turut diisi dengan aktiviti menyantuni rakyat termasuk Jelajah Berbuka Puasa bersama Ahli Parlimen Wangsa Maju.
Sebanyak 15 buah kawasan telah menjadi tapak penganjuran majlis ini yang dihadiri sendiri Dr Tan dan pasukan pusat khidmat parlimen seawal minggu pertama Ramadan lagi sehingga ke hari ini.