BINTULU, 12 Jan – Kebelakangan ini, kenaikan harga barang di Malaysia termasuk di Sarawak yang gagal dikawal akhir-akhir ini menyebabkan perbelanjaan rakyat semakin meningkat terutama bagi golongan berpendapatan rendah.
Menurut pemimpin NGO Persatuan Kebajikan Sentuhan Sayangi Sebauh Bintulu (PKSSSB), Jame Stephen, kerajaan tidak sepatutnya berbuat demikian dan seharusnya peka terhdap kesan-kesan rantaian yang akan berlaku terhadap rakyat.
“Hal ini kerana kebanyakan rakyat Malaysia termasuk di Sarawak hilang pekerjaan disebabkan pandemik Covid-19 yang masih melanda negara masa ini.
“Kenaikan harga barangan keperluan secara mendadak akibat kos pengangkutan barangan meningkat juga turut menjejaskan golongan berpendapatan rendah lebih-lebih lagi kepada mereka yang mempunyai bilangan isi rumah yang ramai,” ujarnya ketika dihubungi hari ini.
Justeru, keadaan ini akan memberi tekanan berterusan kepada mereka untuk mengharungi kehidupan seharian di saat rakyat makin terbeban dengan pelbagai kenaikan kos lain.
Selain itu, kenaikan harga keperluan asas seperti minyak masak turut memberi kesan kepada rakyat lebih-lebih lagi kepada mereka yang tinggal di kawasan pedalaman.
“Mereka memerlukan modal yang amat tinggi sekiranya terpaksa pergi ke bandar besar kerana urusan dengan pejabat kerajaan atau berlaku sesuatu kecemasan.
“Saya mewakili rakyat terbanyak tidak bersetuju terhadap kenaikan harga barang di Sarawak kerana pendapatan yang diperolehi tidak setimpal dengan harga barangan di pasaran.
“Saya melihat perkara ini memberi bebanan kepada rakyat dengan keadaan pandemik tidak menentu juga memberi impak kepada sumber pendapatan mereka.
“Oleh itu, saya berharap pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) supaya bertindak segera mengawal kenaikan harga barang agar tiada rakyat miskin semakin miskin dan yang kaya terus menambah kekayaan mereka,” tambah Jame lagi.
– MEDIA RANIA