KUALA LUMPUR, 12 Jan – Walaupun pelbagai tekanan diterima pelbagai pihak sejak seminggu lalu, Azam Baki hari ini menegaskan beliau tidak akan meletakkan jawatan sebagai Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Jelasnya, hanya seorang individu yang paling layak dan boleh menamatkan tugas beliau di SPRM iaitu Yang di-Pertuan Agong.
“Saya dengan tegas dan tetap dengan pendirian teguh saya untuk tidak meletakkan jawatan kerana tidak ada keperluan untuk saya berundur.
“Hanya seorang individu yang paling layak dan boleh menamatkan tugas saya adalah Yang di-Pertuan Agong, selain daripada itu, saya tidak mahu ambil peduli dengan apa jua tuntutan yang mahu diperjuangkan oleh pihak-pihak tertentu,” katanya.
Azam kini diserang bertubi-tubi susulan pengakuannya bahawa akaun saham miliknya digunakan adiknya untuk membeli saham dalam apa yang disifatkan ‘kesalahan serius seorang penjawat awam’ kerana melanggar undang-undang depositori negara.
Pengkritik berkata jumlah itu melebihi angka yang dibenarkan kepada penjawat awam, selain mempersoalkan sumber kewanangannya.
Azam pada 8 Januari dilapor mempertahankan dirinya dengan berkata “Saya ada semua dokumen, saya akan lawan”.
Sementara itu, Azam juga meminta semua pihak bersabar.
Katanya, dia telah ‘menyerahkan diri’ kepada jawatankuasa-jawatankuasa SPRM untuk siasatan dan percaya “kebenaran akan muncul akhirnya”.
Tegas Azam lagi, dia telah mengikuti segala protokol dan melakukan apa yang patut.
“Satu hari nanti pada waktu ketika yang sesuai, semua orang akan tahu juga kebenarannya,” dia dipetik sebagai berkata.
Kenapa lambat jawab?
Ditanya kenapa dia mengambil masa yang lama untuk menjawab tuduhan yang dilemparkan, Azam berkata tiada keperluan untuk berbuat demikian.
“Bukan perlu untuk saya memaklum balas perkara seperti ini.
“Saya bukan ahli politik tetapi seorang pegawai tinggi kerajaan yang banyak kerja lain yang perlu diberi tumpuan dan diselesaikan.
“Tidak ada keperluan kepada saya sebenarnya untuk saya memaklumkan kepada masyarakat kerana nanti nampak macam saya tiada kerja lain untuk dilakukan,” katanya.