MELBOURNE, 10 Jan – Pemain tenis nombor satu dunia, Novak Djokovic menang dalam kes ke atas kerajaan Australia yang membatalkan visa kemasukannya ke negara itu sebelum ini sekali gus menamatkan penahannya.
Ia adalah satu tamparan hebat buat kerajaan Australia yang menetapkan syarat ketat ke atas pelancong asing yang tiba sejak dua tahun lalu susulan pandemik COVID-19.
Tetapi peguam kerajaan Australia memberitahu mahkamah bahawa Menteri Imigresen, Alex Hawke mungkin masih boleh menggunakan kuasa peribadinya untuk membatalkan sekali lagi visa Djokovic di sebalik kemenangan diraihnya di mahkamah.
Pemain berusia 34 tahun itu tiba di sini minggu lalu bagi beraksi dalam saingan Tenis Terbuka Australia yang akan bermula dalam tempoh seminggu lalu dengan sasaran untuk mencipta rekod 21 gelaran Grand Slam.
Namun, pegawai di Lapangan Terbang Melbourne Tullamarine memutuskan pemain berkenaan gagal untuk mengemukakan bukti kukuh yang dia dikecualikan daripada suntikan vaksin COVID-19 kerana masalah kesihatan.
Situasi itu menyaksikan visa Djokovic dibatalkan dan ditahan di hotel imigresen bagi proses penghantaran pulang.
Dalam perbicaraan secara dalam talian, hari ini hakim memberitahu pihak kerajaan bersetuju untuk menggugurkan keputusan membabitkan visanya dan beliau mengarahkan pembebasan segera Djokovic.
Dia dijangka memulakan latihan bagi menghadapi kejohanan pertama dalam siri Grand Slam tahun ini dalam masa terdekat.
– AFP