Connect with us

Hi, what are you looking for?

MEDIA RANIA

Anak Muda

Bencana Banjir: 5 Tuntutan AMK Terhadap Kerajaan

Kongsikan Artikel Ini

KUALA LUMPUR, 28 Dis – Angkatan Muda Keadilan (AMK) hari ini menyenaraikan lima tuntutan bagi menyelesaikan isu banjir yang dilihat semakin teruk.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan Ketua AMK Malaysia, Akmal Nasir dan Pengerusi Biro Profesional AMK Malaysia Jhen Pei Seah, mereka turut merakamkan ucapan takziah kepada mangsa-mangsa banjir.

Setakat ini, sebanyak lapan buah negeri terlibat banjir dengan menyaksikan 48 jiwa terkorban oleh bencana banjir yang disifatkan terburuk pernah berlaku.

Menurut mereka, sejak seminggu lalu AMK telah meraih dana daripada orang ramai sebanyak RM53,806. AMK juga menggerakkan seramai 1,200 sukarelawan seluruh negara untuk Operasi Pembersihan Pasca Banjir di Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang.

AMK mengutuk sekeras-kerasnya tindak balas kerajaan yang sangat perlahan dalam menangani situasi banjir ini yang seterusnya telah menjadikan keadaan bertambah buruk sehingga membahayakan ribuan nyawa rakyat.

Melangkah ke hadapan, kerajaan harus mengakui keperluan untuk mengutamakan sebarang bentuk usaha pencegahan dan mitigasi bencana banjir. Oleh itu, AMK mendesak pihak kerajaan untuk melaksanakan lima tuntutan iaitu:

1. Polisi Adaptasi Perubahan Iklim (Climate Change Adaptation – CCA)

Kerajaan Persekutuan perlu segera mengambil inisiatif untuk melaksanakan dasar CCA yang komprehensif menggunakan “Pathways Approach” untuk menilai dan mengukur semula keupayaan kita dalam menangani kesan perubahan iklim. Ini bagi memastikan negara mempunyai daya tahan optimum dari segi tenaga kerja, sumber dan infrastruktur apabila dilanda bencana akibat perubahan iklim.

2. Penilaian Semula Infrastruktur Sedia Ada

Usaha wajar mesti dilakukan oleh pihak berkuasa yang berkaitan sebagai sebahagian daripada usaha bedah siasat dan laporannya mesti didedahkan kepada umum. Penilaian kapasiti menyeluruh sistem mitigasi banjir yang sedia ada juga mesti dijalankan untuk menambah baik protokol pengurusan banjir, yang kemudiannya akan meningkatkan lagi ketepatan ramalan banjir.

3. Pelan Induk Mitigasi Banjir

Dengan menggabungkan kajian dari 1 dan 2, satu pelan induk mitigasi banjir yang komprehensif dan bersepadu mesti diwujudkan bagi mengelakkan bencana banjir daripada berulang pada masa hadapan. Data yang dikumpul juga mesti didesentralisasikan dan dikongsi dengan kerajaan-kerajaan negeri serta pihak berkuasa tempatan (PBT). Ini bagi memastikan konsistensi dalam proses pelaksanaan pelan induk tersebut di setiap peringkat.

4. Penglibatan dengan Ahli-ahli Profesional

Selama bertahun-tahun, organisasi teknikal seperti Institusi Jurutera (IEM) dan universiti tempatan telah menerbitkan cadangan yang sangat membina berkaitan langkah pencegahan dan mitigasi banjir. Oleh itu, kerajaan digesa untuk melibatkan kumpulan profesional teknikal ini dengan ikhlas untuk membina satu pelan induk yang benar-benar berkesan.

5. Akauntabiliti

Akhir sekali, pemimpin yang gagal melaksanakan tugas semasa kejadian bencana ini mesti dipertanggungjawabkan. Insiden ini harus diambil sebagai pengajaran kepada semua pemimpin bahawa mereka memikul tanggungjawab dan amanah yang besar terhadap setiap rakyat Malaysia.

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Jangan lupa baca ini...

Copyright © 2021 Media Rania