Connect with us

Hi, what are you looking for?

MEDIA RANIA

Politik

Penasihat Agama PM Satu Lagi Pembaziran Kerajaan Barisan Nasional – AMK

Kongsikan Artikel Ini

JOHOR BAHRU, 28 Nov – Angkatan Muda Keadilan (AMK) mepersoal perlantikan Dato’ Seri Jamil Khir Baharom sebagai Penasihat Agama kepada YAB Perdana Menteri Malaysia Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut Ketuanya Akmal Nasir, pelantikan ini tidak ada keperluan melainkan hanya satu lagi pembaziran dari kerajaan Barisan Nasional hari ini.

Menurut Akmal, Perdana Menteri sepatutnya fokus kepada masalah kenaikan harga barang keperluan asas yang membebankan rakyat ketika rakyat cuba bangkit selepas krisis pandemik dan krisis ekonomi yang melanda negara sejak 20 bulan lalu.

Menurutnya lagi sejak Ismail Sabri dilantik sebagai Perdana Menteri isu kenaikan harga barang semakin meruncing dan ianya menjadi semakin teruk selepas Pilihanraya Negeri Melaka yang mana terdapat banyak laporan kenaikan harga bahan mentah dan keperluan asas.

Perkara ini ternyata membebankan rakyat dan kegagalan dalam mengawal kenaikan harga barang selain alasan-alasan dangkal punca kenaikan membuktikan kerajaan Barisan Nasional tidak peduli akan ‘keluarga Malaysia’ yang terbeban.

“Adakah perlantikan pemimpin UMNO selaku Penasihat Agama sebagai bukti bahawa Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Agama) YB Idris Ahmad dari PAS tidak berfungsi sebagai Menteri? Atau adakah ini isyarat bahawa UMNO akan mengenepikan PAS dan hanya mempergunakan PAS bagi mencukupkan sokongan terhadap Ismail Sabri?”

Beliau juga melihat Penasihat Agama yang baru dilantik sebagai bukti kegagalan Duta Khas Ke Timur Tengah dalam menjalankan tanggungjawab sepanjang menjawat jawatan berkenaan sejak 2 April 2020.

“Selain sebagai ‘habuan’ kepada pemimpin UMNO, perlantikan ini juga manifestasi kepada usaha UMNO memperkukuhkan kedudukan dan mengenepikan PAS bagi menghadapi Pilihanraya Umum ke-15 akan datang.”

“Rakyat tidak akan pernah lupa ketirisan yang berlaku ketika Jamil Khir menjawat Menteri Agama antaranya salahguna dana Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) untuk membeli ‘golf simulator’, membazir wang rakyat menganjurkan kursus perkahwinan di Paris dan kegagalan beliau mengurus Tabung Haji.”

Menurutnya ia amat mendukacitakan demi kelangsungan hidup UMNO, Ismail Sabri memberi ‘nyawa’ kepada bekas Menteri yang gagal sebagai Penasihat.

Dalam satu kenyataan lain Ketua AMK Kedah, Firdaus Johari pula mempersoal rasional perlantikan berkenaan.

Menurut Firdaus adalah membingungkan dan menjengkelkan di saat rakyat sedang mengerang keperitan menghadapi masalah kenaikan harga barang terutamanya di kalangan rakyat bawahan dan pertengahan serta jumlah hutang negara yang terus bertambah, sebuah pelantikan di kalangan elit politik yang tidak jelas hala tuju kepentingan dan impak keberadaanya telah diadakan.

“Apakah tidak cukup besar martabat dan ketinggian darjat Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama untuk melayakkan bait-bait nasihat dan pandangannya diutarakan terhadap Perdana Menteri sehingga terpaksa diwujudkan sebuah penjawatan baru?” Soal Firdaus.

Jelas beliau lagi isu perlantikan ini bukanlah semata-mata kerana kontroversinya Dato’ Seri Jamil Khir Baharom dengan isu penggunaan wang Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) sewaktu dahulu, meskipun hal tersebut adalah sesuatu yang besar dan serius, tetapi apa sahaja pelantikan baru atau keputusan kerajaan yang bersangkut paut dengan perbelanjaan tadbir urus sekiranya berdasarkan “feasibility study” tidak memberi sebarang impak yang menyeluruh terhadap pembangunan kebajikan sosio-ekonomi rakyat dan negara, maka wajar tidak dilaksanakan.

“Budaya lantik-melantik sesama kelompok elit politik ini haruslah dinoktahkan dengan segera kerana seperti mana isu kenaikan harga barang berlaku sejak zaman berzaman, pelantikan politik juga telah kembali dengan lebih mekar seakan bersaingan sesama sendiri, siapakah yang lebih tinggi naik, orang politik atau harga barang.”

“Segala perbelanjaan kerajaan berkaitan lantikan baru atau dasar dan polisi yang tidak menepati kriteria kajian kebolehlaksanaan yang natijahnya kelak mengakibatkan pembaziran secara berterusan tetapi degil untuk diakui haruslah ditamatkan dengan penuh rasa keinsafan dan kebertanggungjawaban.”

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Jangan lupa baca ini...

Copyright © 2021 Media Rania