Negeri

Hanya Jelaskan Seruan Kebanyakan Rakyat Sabah, Polis Tidak Patut Ganggu Azis – Razeef

Kongsikan Artikel Ini

TUARAN, 23 NOV. – Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah, Razeef Rakimin menyelar tindakan pihak berkuasa yang memanggil Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Azis Jamman atas dakwaan mencetuskan sentimen ‘Sabah keluar Malaysia’ yang dikatakan mengganggu gugat keharmonian.

Sebelum itu Azis Jamman telah dipanggil oleh pihak Polis bagi memberikan keterangan berkenaan ucapan beliau yang menyentuh tentang sentimen ‘Sabah keluar Malaysia’ ketika membahaskan peruntukan dan layanan yang tidak adil terhadap negeri Sabah.

Menurut Razeef perkara ini tidak sepatutnya berlaku memandangkan ucapan Azis berkenaan ‘Sabah keluar Malaysia’ bukan berunsur hasutan sebaliknya hanya menerangkan pelanggaran janji berkaitan hak negeri Sabah yang menyebabkan meningkatnya seruan berkenaan.

Menurut beliau intimidasi terhadap wakil rakyat pembangkang tidak harus berlaku apatah lagi bila ruang yang digunakan adalah di dalam Dewan Rakyat yang mulia.

“Azis hanya menyenyuh tentang Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Perjanjian ini dibentuk dengan beberapa syarat yang jelas pada hari ini telah dicabuli kerajaan Persekutuan dengan menafikan hak negeri Sabah sebagai salah satu dari tiga entiti yang membantuk Malaysia.”

Razeef merujuk kepada peruntukan untuk negeri Sabah dan Sarawak dalam Belanjawan 2022 jelas berlaku ketidak adilan berkenaan jumlah peruntukan yang sangat kecil dan meletakkan Sabah setaraf dengan negeri-negeri kecil di Semenanjung sedangkan umum mengetahui keluasan negeri Sabah sahaja sama seperti lima buah negeri Semenanjung digabungkan.

Menurut Razeef lagi Sabah terlalu mundur dari segi pembangunan infrastruktur dan di tahun 2021 yang pesat dengan pembangunan dan pemodenan, Sabah masih mempunyai banyak masalah infrastruktur bekalan air, bekalan elektrik, jalanraya, jambatan, sekolah-sekolah usang dan bermacam-macam lagi.

“Sabah telah berada dalam Malaysia selama 58 tahun namun Sabah ‘terpaksa’ membangun menggunakan 5% sumber hasil bumi wilayah ini sedangkan selebihnya digunakan untuk pembangunan Kuala Lumpur.”

“Di sini jelas Azis membawa suara anak Sabah yang mahukan hak kami dikembalikan agar kami boleh menikmati pembangunan infrastruktur dan kemodenan setaraf semenanjung.”

“Maka saya mendesak pihak berkuasa untuk berhenti mengganggu wakil rakyat pembangkang. Tindakan ini hanya menambah kemarahan rakyat Sabah terhadap penindasan kerajaan persekutuan kepada Sabah.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Jangan lupa baca ini...

Copyright © 2021 Media Rania

Exit mobile version