Connect with us

Hi, what are you looking for?

MEDIA RANIA

Nasional

Muktamar PAS: Hadi Pesongkan Sejarah?

Kongsikan Artikel Ini

PENDAPAT, 7 Nov – Besar hati umat Islam mendengar ucapan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang yang merumuskan bahawa “Islam Menyatukan Ummah” ketika merasmikan Muktamar ke-67 parti itu semalam.

Hadi bercakap mengikut fakta dan keyakinan bahawa Islam mempunyai solusi pada semua masalah manusia, termasuk dalam bidang kepakaran beliau iaitu politik. Hujah-hujah Al-Quran dan hadis yang ditukilnya memang tepat dan sahih.

Nampaknya tidak sia-sialah usaha 46 orang wakil Bahagian Agama Umno pada 21 hingga 23 Februari 1950 di Kelab Melayu Muar, Johor yang diketuai oleh Haji Ahmad Fuad Hassan. Kini, nampaknya, kata Hadi, sudah mula berhasil.Terima kasih Umno.

Mesyuarat yang digelar Persidangan Alim Ulamak itu diadakan dua kali lagi pada tahun berikutnya untuk menukar namanya menjadi Kongres Alim Ulamak dan kemudian Persatuan Ulamak se-Tanah Melayu. Lanjutan inisiatif ini membentuk Parti Islam seMalaysia (PAS).

Cakap Hadi memang benar. PAS sekarang sudah menjadi “king maker” dalam politik Malaysia. Dengan kuasa 18 ahli Dewan Rakyat sahaja, ia boleh menentukan siapa dan parti mana boleh atau tidak boleh memerintah.

Lantas Hadi pun menggariskan ini boleh berlaku berpaksi pada empat prinsip – Adil pada semua; Satu Keluarga; Islam Memimpin, dan, peranan PAS sebagai Pendamai. Hadi juga sempat menyerlahkan “Halatuju kerajaan Perikatan Nasional (PN)” yang dipelopori PAS.

Seraya itu, Hadi juga mengumumkan tawaran PAS kepada sekutu-sekutu PN – membina integriti Negara dan Rakyat bersilangan konsep mahu membina Negara Berkebajikan.

Lebih besar daripada itu PAS menawarkan menyuntik Pendidikan Politik pada anak muda menjelang pelaksanaan konsep Undi 18 dan Penyatuan Ummah di peringkat antarabangsa.

Hujah ucapan Hadi bersandarkan 32 potong ayat Al-Quran dan dua kerat hadis. Memang demikian tonggak pemikiran politik Islam maka hal ini tidak harus dipertikaikan mesejnya.

Namun ketepatan dan kewajarannya ayat-ayat Al-Quran ini di segi kronologi keberlakuan (event) politiknya boleh dipertikaikan. Misalnya, apabila Hadi memaparkan ayat yang kononnya mengizinkan fungsi PAS sebagai “Pendamai” di antara Umno dan Bersatu – ayat 9 Al-Hujurat menyebut:

“Dan jika dua puak daripada orang-orang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh, maka damaikanlah keduanya dengan adil(menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kalian (dalam segala perkara); sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil.”

Umum tahu Bersatu lahir daripada tulang rusuk Umno sama seperti PAS kira-kira 50 tahun lalu. Presiden Bersatu adalah mantan Timbalan Presiden Umno, Mahiaddin Yassin yang dipecat daripada Umno. Tempat beliau diganti oleh Presiden Umno hari ini, Ahmad Zahid Hamidi.

Tidak sukar menduga dendam kesumat politik di antara dua presiden ini. Kronologi politik menunjukkan bahawa dengan bantuan bekas bos Umno dan Pengerusi Bersatu iaitu Dr Mahathir Mohamad, Bersatu menubuhkan kerajaan Pakatan Harapan bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Tindakan Demokrasi (DAP).

Maka buat pertama kali dalam sejarah politik Malaysia Umno jadi pembangkang. Maka tampillah PAS, bak kata Hadi, idea kekalkan kerajaan Melayu-Islam di antara Umno dan PAS dipayungi jenama Muafakat Nasional (MN).

Kemudian Hadi dan konco-konco PAS meluaskan tema kerajaan Melayu dan Islam di bawah slogan Perikatan Nasional (PN) dengan menggabungkan PAS, Umno dan Bersatu dalam kerajaan pimpinan PN.

Umum juga tahu kudis di antara Umno dan Bersatu masih belum betah. Namun PAS kini mahu mengambil kredit sebagai pendamai. Malangnya, masalah Umno dan PAS ini terkait rapat dengan ayat 9 Al-Hujurat yang disebut Hadi dalam ucapannya.

Persoalannya: Siapa menganiaya siapa? Zahid Hamidi berkali-kali mengatakan bahawa Umno dikhianati. Siapakah pengkhianat ini? Adakah ia Bersatu yang mempunyai DNA atau benih Umno? Atau, mungkinkah yang dimaksudkan Umno itu ialah PAS?

Jika demikian tidakkah PAS melanggar prinsip Al-Quran yang dibacakan Hadi itu? Yang memburukkan keadaan ialah PAS kemudian berunding dengan Bersatu tanpa kehadiran Umno menentukan calon-calon PN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka. Kesian Umno.

Tiga puluh ayat Al-Quran lain yang ditukil Hadi dalam pembukaan Muktamar PAS memberi latar belakang dan rasional berpolitik termasuk menjaga solat, taqwa, zakat dan seumpamanya. Itu baik.

Lantas, yang menjadi isu ialah jika Bersatu, Umno dan PAS mengaku parti Islam-Melayu, mana mungkin Bersatu menganiaya Umno tetapi PAS tidak berusaha “menghukum” Bersatu menurut perintah ayat 9 surah Al-Hujurat?

Firman Allah dijadikan hujah politik. Jika ditimbang tawaran PAS kepada Bersatu dan Umno ia kelihatan seolah PAS bukan sahaja memperjuangkan hak kuasa rakyat Melayu-Islam tetapi lebih merapati sifir PAS mahu menjadi nakhoda PN dan bukan sekadar pendamai.

Sehubungan itu, bilakah dan mengapa Hadi tidak menawarkan“kePerikatanan” PAS kepada Parti Amanah Negara (PAN)? Bukankah PAN pun lahir tulang rusuk PAS?

Baik Umno mahupun Bersatu dan PAS, masing-masing ditunjangi ajaran Islam dan kepentingan Melayu. Ketiga-tiga parti berkenaan dipimpin oleh presiden yang mendapat pendedahan Islam. Sewajarnyalah mereka berani dan ikhlas menterjemahkan konsep Satu Keluarga Malaysia dengan jujur.

Usahlah nafsu untuk berkuasa menjadikan mereka bermuafakat dan berPerikatan dalam dosa menyalahgunakan ayat-ayat Quran. Janganlah izinkan diri berperangai seperti orang gila talak.

Umno macam gila mahu kembali berkuasa mutlak; Bersatu (Mahiaddin bersama bekas ahli Umno yang melompat parti) pula mahu berkuasa seperti selepas menjatuhkan kerajaan PH melalui konspirasi Langkah Sheraton.

Langkah pertama doktrin PN sendiri bertentangan dengan Islam kerana bahawasanya kerajaan Melayu-Islam adalah ditiup oleh iblis kerana itu adalah roh assabiyah sempit. Bukankah jika mahu mewujudkan semangat satu Keluarga Malaysia, DAP yang dikatakan cauvinis Cina harus dilibatkan sama?

Tidakkah cara demikian serasi dengan perjuangan dan pendekatan Rasulullah s.a.w yang bersama bukan Islam untuk menandatangani Piagam Madinah? Bukankah pendekatan pernah dicuba dan dan berhasil menubuhkan kerajaan Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum 2008?

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Jangan lupa baca ini...

Ekonomi

Kongsikan Artikel InimoreKUALA LUMPUR, 1 Dis – Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim mendakwa mekanisma kawalan harga barang begitu lembab susulan kenaikan harga secara mendadak, sejak...

Ekonomi

Kongsikan Artikel InimoreGEORGETOWN, 1 Dis – Kementerian Kesihatan (KKM) diminta menyiasat dan mengambil tindakan berhubung isu peningkatan bayaran perubatan di hospital swasta. Gesaan itu...

Ekonomi

Kongsikan Artikel InimoreKUALA LUMPUR, 1 Dis – Semua naik! Rata-rata peniaga dan pengguna masing-masing melahirkan rasa kecewa berikutan harga barangan terutamanya barang basah yang...

Ekonomi

Kongsikan Artikel InimorePUTRAJAYA, 1 Dis – Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob seakan terkejut dan terpaksa mengakui harga barang keperluan terutamanya ayam dan ikan meningkat....

Copyright © 2021 Media Rania