Connect with us

Hi, what are you looking for?

MEDIA RANIA

Nasional

Hukum Mereka Yang Korup Dan Khianat Masa Pilihan Raya – Anwar

Kongsikan Artikel Ini

KUALA LUMPUR, 16 Okt – Pemimpin pembangkang, Anwar Ibrahim menggesa rakyat untuk tidak mengkritik negara hanya disebabkan “segelintir ahli politik” yang mengecewakan, sambil berkata hanya sokongan orang ramai dapat memperbetulkan keadaan.

Dalam satu temu bual dengan akhbar The Straits Times, beliau berkata, sebagai permulaan, kerajaan mesti menyiasat mereka yang dikaitkan dengan Kertas Pandora dan menggesa pengundi muda kali pertama untuk menghukum mereka yang korup.

“Kenapa menghentam negara disebabkan kegagalan yang dilakukan oleh segelintir orang? Kenapa semua ahli politik terlibat (berkait rasuah)? Malaysia harus diselamatkan. Saya mahu kerajaan menyiasat pendedahan Kertas Pandora.

“Malaysia sekarang bukanlah Malaysia pada zaman 1990an. Malaysia telah musnah. Kita bertolak ansur dan membenarkan ahli politik meneruskan permainan ini. Apa yang kita perlu ialah sokongan daripada orang ramai,” katanya ketika diminta mengulas mengenai kekecewaan dirasai oleh rakyat Malaysia terhadap ahli politik dan situasi politik.

Mengulas mengenai kesan yang mungkin dilihat daripada pengundi kali pertama selepas usia layak mengundi diturunkan kepada 18 tahun dan bagaimana rancangan Pakatan Harapan (PH) untuk menarik mereka, Presiden PKR itu berkata pengundi muda ini perlu menghukum mereka yang korup dan berusaha menyelamatkan negara.

“Mesej saya kepada mereka ialah ‘kamu tahu mengenai rasuah dan Kertas Pandora, lebih baik berbanding ibu bapa kamu. Jadi, ambil pendirian’,” katanya.

Menerusi temu bual itu, Anwar turut mempertahankan Memorandum Persefahaman (MoU) yang dicapai antara PH dan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, dan menegaskan ia membawa kepada pembaharuan Parlimen dan persetujuan untuk melaksanakan usia layak mengundi yang baharu akhir tahun ini.

Antara klausa dalam MoU itu ialah kedudukan Ketua Pembangkang diangkat kepada taraf menteri. Ismail menyerahkan surat pengesahan itu kepada Anwar awal minggu ini.

Bagaimanapun, Anwar menegaskan bahawa terdapat banyak lagi isu yang masih diperdebatkan, khususnya mengenai rasuah dan memberi amaran bahawa PH tidak memberi jaminan akan menyokong bajet yang dibentangkan nanti.

Menurut laporan Straits Times, beliau turut mengingatkan agar tidak berlakunya pilihan raya umum mengejut untuk menyelesaikan kemelut politik negara.

“Malaysia masih jauh lagi sebelum dianggap berjaya menangani krisis kesihatan akibat Covid-19 apabila negara baru saja masuk minggu kedua sejak kebenaran rentas negeri diberikan,” kata Anwar yang dipetik dalam laporan.

Beliau turut mengakui bahawa MoU itu, antara lain, menetapkan pilihan raya umum baharu hanya dapat diadakan selepas Julai tahun depan, yang sangat berbeza dengan kedudukan dipegang oleh beberapa sekutunya dalam PH.

Anwar mengakui bahawa terdapat kegusaran dalam gabungan itu apabila pembangkang mungkin menyerah terlalu banyak dalam MoU yang ditandatangani secara tergesa-gesa.

“Saya juga secara amnya kurang senang dengan perkembangannya yang tidak menentu.

“Ini bukan pembaharuan kerajaan. Bagaimanapun, buat masa ini, saya menasihatkan supaya jangan korbankan kesihatan rakyat. Pekerjaan, kebajikan dan kehidupan rakyat harus menjadi fokus kerajaan,” katanya kepada akhbar harian Singapura itu.

 

Anwar berkata, dengan keadaan kerajaan sekarang yang rapuh dan majoriti tipis di Parlimen, Ismail terpaksa menandatangani MoU itu juga.

Katanya, beliau berkata antara isu lebih kontroversi dengan kerajaan ialah undang-undang baharu untuk menghalang wakil rakyat lompat parti, satu amalan yang menjadi punca masalah politik Malaysia sejak berdekad lalu.

“Kita perlu lebih masa untuk mengatasi perbezaan kami berhubung isu ini,” katanya.

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Jangan lupa baca ini...

Ekonomi

Kongsikan Artikel InimoreKUALA LUMPUR, 1 Dis – Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim mendakwa mekanisma kawalan harga barang begitu lembab susulan kenaikan harga secara mendadak, sejak...

Ekonomi

Kongsikan Artikel InimoreGEORGETOWN, 1 Dis – Kementerian Kesihatan (KKM) diminta menyiasat dan mengambil tindakan berhubung isu peningkatan bayaran perubatan di hospital swasta. Gesaan itu...

Ekonomi

Kongsikan Artikel InimoreKUALA LUMPUR, 1 Dis – Semua naik! Rata-rata peniaga dan pengguna masing-masing melahirkan rasa kecewa berikutan harga barangan terutamanya barang basah yang...

Ekonomi

Kongsikan Artikel InimorePUTRAJAYA, 1 Dis – Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob seakan terkejut dan terpaksa mengakui harga barang keperluan terutamanya ayam dan ikan meningkat....

Copyright © 2021 Media Rania