Connect with us

Hi, what are you looking for?

MEDIA RANIA

Negeri

DUN Melaka Bubar: Tak Peduli Risiko Kerana Tamak Dan Gila Kuasa

Kongsikan Artikel Ini

Jika mahu lebih baik dan adil, memang pelaksanaan pilihan raya negeri (PRN) adalah jawapannya. Namun demikian, keadaan sekarang tidak mengizinkan walaupun Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) hampir mencapai sasaran komuniti kelompok (90 peratus).

Sedangkan telah ada PICK sejak 24 Februari lalu pun kes harian Covid-19 masih empat atau lima angka dalam prosedur operasi standard (SOP) Program Pemulihan Negara (PPN), inikan pula akan ada kempen PRN yang pasti menuntut pergaulan, dan perhimpunan ramai.

Mengapakah kesan daripada PRN Sabah pada 26 September 2020 tidak mahu dijadikan iktibar (walaupun ketika itu belum ada PICK)?

Janganlah sehingga ada pula rakyat yang mendakwa kesungguhan Kerajaan Keluarga Malaysia mengejar komuniti kelompok hanyalah helah untuk mengadakan mana-mana pilihan raya yang menguntungkannya.

Rakyat Melaka sendiri merayu agar PRN negeri mereka ditangguhkan atas alasan situasi peningkatan kes Covid-19 selepas PRN Sabah.

Antara mereka termasuklah pengusaha restoran, peniaga pakaian, pekerja syarikat swasta, dan aktivis belia. Ada pula antara mereka yang tidak mahu keluar mengundi jika PRN itu diteruskan kerana bimbang dijangkiti walaupun terdapat SOP yang digariskan oleh pihak berkuasa.

Politik Melaka bergolak pada 4 Oktober lalu apabila Datuk Seri Idris Haron (Umno-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (Umno-Pantai Kundor), Datuk Noor Effandi Ahmad (Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)-Telok Mas), dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) menarik sokongan terhadap Ketua Menteri (KM), Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Walaupun tidak akan timbul soal lompat parti kerana ADUN Umno dan Bersatu berkenaan pastinya dipecat, tetapi kita mempersoal keadilan dan double standard.

Mengapa sewaktu PH tumbang pada 2 Mac 2020 – ketika kes harian masih (sangat) rendah dan belum ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), nasihat Adly Zahari yang kehilangan majoriti sebagai KM agar diadakan PRN tidak didengari, sebaliknya Perikatan Nasional (PN) terus mengambil alih kuasa, dengan Sulaiman menjadi KM?

Walau bagaimanapun, setelah Sulaiman dijatuhkan pada 4 Oktober lalu, pelaksanaan PRN tidak pula dibantah. PH tidak pun menjadi kerajaan. Jika mengikut logik dan kesamaan kes, wajarlah PH menjadi kerajaan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia telah menerima pemakluman rasmi berhubung pembubaran DUN Melaka penggal ke-14 pada tarikh itu daripada Speaker DUN Melaka, Dato’ Sri Ab Rauf Yusoh.

Selepas mengumumkan pembubaran DUN Melaka, Rauf menyerahkan Proklamasi Pembubaran DUN kepada Pengarah SPR Melaka, Rudy Rohan Johan @ Ganesan.

Berdasarkan Fasal (4) Perkara 19 Perlembagaan Negeri Melaka, PRN hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran DUN itu.

Memang amat ketara double standard dan ketidakadilan yang menunjukkan politik Malaysia semakin hilang maruah akibat mereka yang gila kuasa tiada kewarasan lagi.

Sehubungan dengan kehilangan kuasa, PH mendapati keputusan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tuan Yang Terutama (TYT), Tun Seri Setia Dr Ali Rustam membubarkan DUN dibuat berdasarkan nasihat yang salah.

Sulaiman bukan sahaja hilang kuasa, tetapi seperti tidak menyedari, atau buat-buat lupa kedudukannya sedemikian.

Dalam kenyataannya pada 6 Oktober lalu, Majlis Presiden PH menegaskan, apabila empat ADUN menarik sokongan terhadap Sulaiman, KM itu telah hilang jawatan, dan tidak layak menasihati Tun Dr Ali berdasarkan Perlembagaan Negeri Melaka.

Tambah Majlis Presiden PH, Dr Ali sepatutnya meneliti dan mengikuti Perlembagaan Negeri Melaka, serta bertemu dengan 15 Adun, iaitu pihak yang telah mendapat majoriti sebelum membuat sebarang keputusan.

Tindakan Ali itu, tambah majlis tersebut, melanggar duluan (precedent) di mana pada 2 Mac 2020 nasihat Adly (Parti Amanah Negara (Amanah)-Bukit Katil) untuk membubarkan DUN tidak diterima setelah hilang majoriti.

Ia juga tidak selari dengan duluan Mahkamah Persekutuan dalam kes Nizar Jamaluddin lawan Zambry Abdul Kadir di mana sokongan majoriti boleh ditentukan di luar DUN.

Itulah ahli Umno. Bila-bila pun tetap sedemikian, apatah lagi Ali yang memang orang kuat Umno, pernah menjadi KM Melaka dari 3 Disember 1999 sehingga 7 Mei 2013. Pastinya bias, dan tidak akan menyebelahi PH.

Majlis Presiden PH turut kesal kerana tindakan pembubaran DUN Melaka itu membuka laluan untuk pelaksanaan PRN yang boleh mengancam nyawa rakyat.

Covid-19 yang belum lagi terkawal sepenuhnya, dikhuatiri akan mengundang peningkatan kes wabak pandemik itu, sekali gus menjejaskan aktiviti sosial, dan ekonomi di Melaka yang kini berada pada Fasa Tiga PPN.

Kini PH sedang menggunakan saluran mahkamah untuk menentukan keabsahan kerana wujud pula kerajaan sementara negeri Melaka di bawah kepimpinan Sulaiman.

Menurut Adly yang juga Pengerusi PH Melaka, pihaknya tidak bersetuju Sulaiman mengetuai kerajaan sementara selepas DUN terbubar kerana ADUN Lendu itu telah hilang kepercayaan sebahagian besar ADUN – tidak wajar dibenarkan menjadi KM caretaker government.

Ini selaras dengan apa yang berlaku pada 2 Mac 2020 apabila tugas pentadbiran Kerajaan Negeri dipertanggungjawab kepada Setiausaha Kerajaan Negeri sehingga KM baharu dilantik.

Adly turut menyelar tindakan Sulaiman mencadangkan pembubaran DUN kepada Ali sebagai tidak bertanggungjawab.

“[…] Permohonan Sulaiman kepada TYT Yang di-Pertua Negeri Melaka untuk membubarkan DUN Melaka ke-14 mempamerkan sikap beliau yang tidak bertanggungjawab kerana rakyat masih lagi bergelut dengan Covid-19.

“ … Malahan PRN Sarawak telah ditangguhkan atas alasan yang sama,”

Sebelum penarikan sokongan terhadap Sulaiman, PH mempunyai 11 ADUN, iaitu tujuh dari DAP, dua Parti Keadilan Rakyat (PKR), dan dua Amanah, berbanding 17 sokongan bagi Barisan Nasional (BN)-PN, iaitu 14 dari Umno, dua Bersatu, dan satu Bebas.

Kini, sokongan BN-PN berkurangan menjadi 13, sebaliknya PH memperoleh 15 sokongan.

Ketika mengumumkan pembubaran DUN, Rauf yang juga Pengerusi Umno Melaka memberitahu Sulaiman telah bertemu dengan Ali, dan meminta Ali membubarkan DUN.

Walau bagaimanapun, Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan pengisytiharan darurat bagi mengelakkan pelaksanaan PRN, kerana negara masih bergelut mendepani Covid-19.

Oleh kerana ada yang melihat beliau berdolak-dalik semasa mengurus kemelut politik Melaka, Zahid menjelaskan keadaan itu kepada umum pada 8 Oktober lalu.

Katanya, memang sebelum ini di Dewan Rakyat beliau menyarankan agar rakyat diberikan mandat untuk memilih kerajaan baharu di Melaka jika benar kerajaan sedia ada – diterajui Barisan Nasional dan PN – sudah tumbang.

Namun begitu, tambah Zahid, beliau tidak dapat mengulas lebih lanjut saranan berkenaan kerana ruang masa untuk bercakap terhad.

Kata Zahid, beliau tidak hairan jika Umno kehilangan kerajaan yang dipimpin oleh Sulaiman.

Di luar Dewan Rakyat, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu kemudian memberikan gambaran darurat perlu diisytiharkan agar PRN dapat ditangguhkan.

Zahid memetik keadaan semasa Covid-19 sebagai hujah untuk kerajaan memikirkan kemungkinan menasihatkan Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan darurat di Melaka. Langkah serupa diambil di Sarawak bagi menangguhkan PRN di negeri itu.

Pengkritik mendakwa Umno sengaja menggerakkan langkah mencadangkan darurat itu bagi memastikan mereka kekal mentadbir Melaka untuk tempoh yang lebih lama.

Zahid mengakui langkah terbaik untuk menangani kemelut di Melaka adalah mengadakan PRN. Walau bagaimanapun, ia masih perlu mengambil kira faktor lain.

Justeru, tambah Zahid, sebaiknya SPR memutuskan sedemikian selepas berbincang dengan Majlis Keselamatan Negara, dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Sehingga ada keputusan muktamad, kata Zahid lagi, KM Melaka akan terus berfungsi dalam bentuk ‘caretaker government’.

Pada masa yang sama, tambah Zahid, Umno mengakui ‘nasi sudah menjadi bubur’. Oleh itu, ia perlu bersedia mengharungi PRN jika itu yang ditetapkan oleh SPR.

Pembubaran DUN Melaka itu turut dikecam oleh Badan Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Melaka. Menurut Pengerusinya, Datuk Abdul Halim Bachik, keputusan Speaker DUN Melaka membubarkan DUN negeri itu membelakangkan kepentingan rakyat.

Tindakan Rauf itu, tambah Halim, jelas melanggar etika sebagai ahli politik yang membelakang kepentingan rakyat dalam tempoh wabak pandemik maut ketika ini. Memanglah sebagaimana katanya, tindakan yang tergesa-gesa dan gopoh demi survival politik tersebut pasti akan memberi kesan buruk.

Begitu pun, tambah Halim, PKR Melaka bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan sejak rampasan kuasa pasca-PRU14.

Tegas Halim, pihaknya akan bersama-sama dengan sahabat dari gabungan PH untuk terus memastikan demokrasi Melaka hidup, dan tidak dieksploitasi oleh mana-mana pihak.

Sementara itu, tidak salah mengalu-alukan sokongan Idris terhadap PH kerana beliau bukan melompat parti, sebaliknya telah dipecat oleh Umno.

KM Melaka dari 7 Mei 2013 sehingga 10 Mei 2018 itu tidak menolak kemungkinan menyertai PH, dan menjadikan gabungan pembangkang tersebut sebagai antara pilihan yang sedang dipertimbang.

Idris malah memberikan bayangan bersedia menggalas jawatan KM baharu jika beliau menjadi calon pilihan PH.

Mengapa Idris akan menjadi calon terbaik PH untuk KM ke-13 Melaka? Bagaimana dengan Adly yang cemerlang dari 10 Mei 2018 sehingga 2 Mac 2020?

Idris mengakui, ‘gabungan baharu’ itu – dipercayai merujuk PH bersama empat bekas ADUN yang menarik sokongan kepada pentadbiran BN-PN di Melaka – pasti menempuh jalan mencabar kerana mempunyai latar belakang yang pelbagai.

Namun begitu, kata Idris, jika PH memilihnya, ia mungkin kerana menepati standard kualiti yang mereka harapkan, bukan dengan hanya ditunjuk-tunjuk dan menjadi budak suruhan.

Selepas dipecat oleh Umno, Idris belum menyertai mana-mana parti politik, dan kekal bebas ketika ini. PH merupakan satu pilihan, dan ramai pemimpin parti menghubunginya bertanya khabar, dan berita.

Idris dan tiga ADUN berkenaan pada mulanya mahu membentuk kerajaan baharu dengan PH, tetapi DUN Melaka dibubarkan pada 5 Oktober lalu selepas Ali dikatakan menerima cadangan Sulaiman.

Adly atau Idris, kedua-duanya boleh kerana pernah menjadi KM. Cuma, seperti yang saya sebutkan sebelum ini, ahli atau mantan ahli Umno tetap (boleh) dicurigai.

Sementara itu, sikap PAS sebagai salah sebuah parti komponen PN terus mengecewakan apabila menyokong pelaksanaan PN. Jika berdasarkan kenyataan Zahid yang mencadangkan darurat, PAS lebih teruk daripada Umno.

Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menganggap PRN Melaka bakal menjadi medan menguji kekuatan gabungan politik PN dan Muafakat Nasional (MN).

Kata mantan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu, adakah PN sahaja memadai untuk memenangi PRN atau MN. Ataupun, katanya lagi, gemblengan ketiga-tiga parti adalah rahsia kemenangan, yang dipercayai merujuk kepada tiga parti utama dalam gabungan berkenaan, iaitu Umno, PAS dan Bersatu.

PN dianggotai Bersatu bersama PAS, Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Parti Progresif Sabah (SAPP), dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), selain disokong oleh Parti Bersatu Sabah(PBS), Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Parti Liberal Demokratik (LDP), dan Parti Cinta Sabah (PCS), serta ahli Parlimen bebas.

Umno pernah menjadi sekutu PN, tetapi menarik balik sokongannya pada Ogos lalu. MN pula dianggotai Umno dan PAS, dengan Bersatu pernah dicadangkan untuk turut menyertainya, tetapi tidak kesampaian.

Hubungan Umno dan parti serpihannya, Bersatu tegang sejak awal kedua-keduanya menjadi sekutu di bawah Kerajaan PN menerusi Langkah Sheraton awal tahun lalu, dengan PAS dilihat cuba menjadi pendamai kedua-dua parti itu ke arah Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 nanti.

Walau bagaimanapun, usaha PAS itu nampak tidak memperoleh hasil memberangsangkan apabila kedua-dua parti – terutama Umno – dilihat bersedia untuk bertembung dalam PRU15, dengan ketiga-tiga parti jelas berkongsi kubu yang sama – kawasan majoriti Melayu dan Islam.

Tambah Khairuddin, ramai ahli parti komponen gabungan itu berasa parti mereka telah kukuh selepas membentuk kerajaan baharu hasil muafakat antara gabungan berkenaan.

Mereka juga, kata Khairuddin lagi, berasa pengundi yang sebelum ini lari, telah kembali ke pangkuan mereka semula, manakala sokongan pengundi baharu pula dirasakan semakin bertambah.

Justeru, Khairuddin menganggap PRN Melaka sebagai medan mengesahkan perasaan itu. Ataupun apakah, tambahnya, Melaka akan menjadi milik PH semula akibat ketidaksepakatan parti Melayu yang telah diulit rasa gah berkerajaan.

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Jangan lupa baca ini...

Negeri

Kongsikan Artikel InimoreSEREMBAN, 2 Dis – Dewan Undangan Negeri (Dun) Negeri Sembilan, hari ini, meluluskan Enakmen Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (Pindaan) 2021 bagi...

Ekonomi

Kongsikan Artikel InimoreBAGAIMANA KAMI BOLEH MEMBAWA PERUBAHAN DAN KETELUSAN DALAM TADBIR URUS SERTA KESAMARATAAN DALAM AGIHAN PENGURUSAN PEMBANGUNAN INFRASTRUKTUR DAN SOSIO-EKONOMI KOMUNITI DI SARIBAS...

Negeri

Kongsikan Artikel InimoreMUKAH, 1 Dis – Masihkah mahu menafikan? Sehingga waktu ini, liputan internet bagi kawasan perkampungan Tellian dan kawasan luar bandar sekitar Mukah...

Jenayah

Kongsikan Artikel InimoreKUALA LUMPUR, 1 Dis – Seorang individu yang dipercayai penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) tular di media sosial selepas kekalahan skuad Harimau...

Copyright © 2021 Media Rania