Antarabangsa

Perang Dadah Filipina Tidak Ikut Protokol Polis – DOJ

Kongsikan Artikel Ini

MANILA, 6 Okt – Penelitian panel pembanterasan dadah dalam Jabatan Kehakiman (DOJ) Filipina terhadap pelbagai kes mendapati protokol polis tidak dipatuhi.

Setiausaha Bahagian DOJ, Adrian Sugay, berkata pihaknya akan memberi kelulusan kepada Biro Siasatan Kebangsaan (NBI) untuk meneliti 52 kes.

“Ini bagi menentukan sama ada wujud liabiliti dalam kalangan 154 pegawai polis yang terbabit dengan kematian 52 pembekal dadah.

“Daripada apa yang kami lihat, kebanyakan kes ini perlu diperhalusi secara berhati-hati kerana seakan ada beberapa proses atau dipanggil sebagai protokol polis yang tidak diikuti,” katanya dalam penjelasan yang disiarkan di televisyen.

Keadaan itu sama dengan laporan Setiausaha DOJ, Menardo Guevarra, kepada Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC), Februari lalu.

Menurut laporan itu, separuh daripada operasi pembanterasan dadah yang dilaksanakan jabatan itu ‘gagal mematuhi piawaian protokol berhubung penyelarasan dengan agensi lain dan pemprosesan lokasi jenayah’.

Sugay berkata NBI akan menentukan sama ada wujud pertuduhan yang perlu difailkan terhadap mana-mana pegawai polis sekiranya didapati melakukan kesalahan.

“Sekiranya mereka dapati ada keperluan untuk melakukan siasatan lanjut atau memerlukan bukti terperinci, itu juga terpulang kepada NBI,” katanya.

Selain liabiliti pentadbiran ditubuhkan Polis Kebangsaan Filipina, Sugay berkata pegawai polis yang terbabit dalam kematian suspek kes dadah juga berkemungkinan berdepan aduan pembunuhan.

“Mereka boleh dibuang perkhidmatan, diturunkan pangkat atau ‘direhatkan’, bergantung kepada kesalahan mereka,” katanya.

– AGENSI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Jangan lupa baca ini...

Copyright © 2021 Media Rania

Exit mobile version