Connect with us

Hi, what are you looking for?

MEDIA RANIA

Ekonomi

RMK-12 : Status Pendapatan Tinggi Tiada Makna Jika Wujud Ketidaksamaan

Kongsikan Artikel Ini

Kuala Lumpur 28 Sep – Kerajaan tidak boleh taksub dengan status berpendapatan tinggi dan meningkatkan pendapatan purata isi rumah kerana ukuran ini tidak mengambil kira ketidaksamaan atau taraf hidup, kata ahli ekonomi.

Menjadi negara berpendapatan tinggi, yang pada 2020 memerlukan pendapatan negara kasar (PNK) per kapita melebihi USD12,535 (RM52,490), tidak semestinya bermakna rakyat lebih kaya atau lebih bahagia, kata mereka, sebagai tindak balas kepada pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob di Parlimen semalam.

Dalam ucapannya, Ismail berkata, negara menyasarkan untuk mengatasi ambang PNK per kapita dalam tempoh lima tahun akan datang, dan bagi pendapatan isi rumah negara meningkat melebihi RM10,000.

Bagaimanapun, Barjoyai Bardai daripada Universiti Tun Abdul Razak berkata, kita boleh tertipu jika hanya melihat kepada purata pendapatan isi rumah kerana ia tidak mengambil kira jurang antara yang kaya dan yang miskin.

Tambahnya, gaji median dapat menjadi petunjuk yang lebih baik bagi kestabilan kewangan rakyat.

“Pada masa ini, gaji median hanya sekitar RM2,000, yang bermaksud separuh daripada populasi berpendapatan kurang daripada itu. Ini boleh jadi di mana Perdana Menteri patut beri tumpuan, iaitu bagaimana untuk meningkatkan pendapatan sebenar, berbanding purata nasional,” katanya kepada media.

“Walaupun kita mencapai ambang tertentu, itu tidak bermakna apa-apa, kerana yang penting adalah sama ada isi rumah mampu meningkatkan taraf hidup mereka. Jika 20% teratas memperoleh pendapatan jauh lebih tinggi, tetapi bagi orang lain, tiada perubahan, kita mungkin dapat menaikkan beberapa petunjuk tetapi negara tidak berada pada kedudukan yang lebih baik.”

Barjoyai mencadangkan agar kerajaan membangunkan indeks kualitatif dan kuantitatif baharu untuk mengukur sama ada kehidupan rakyat menjadi lebih baik, dengan mengambil kira aspek seperti kebahagiaan, berbanding hanya pendapatan.

Yeah Kim Leng daripada Universiti Sunway bersetuju, dengan berkata, metrik yang mengukur ketidaksamaan pendapatan, seperti pekali Gini, juga harus diutamakan dalam perjalanan negara memperoleh status berpendapatan tinggi.

“Ini adalah aspirasi yang baik, tetapi hanya jika pertumbuhan teragih sama rata. Ketidaksamaan adalah isu utama di mana-mana, terutamanya dalam persekitaran pasca wabak akibat impak tidak simetri sekatan disebabkan wabak di mana golongan miskin paling teruk terjejas.

“Golongan kaya akan lebih berpeluang untuk mendapat manfaat daripada pemulihan negara, tetapi mereka yang kurang bernasib baik dan golongan rentan, seperti orang muda, wanita dan ibu bapa tunggal akan berdepan kesulitan.

“Oleh itu, kesan lelehan kekayaan harus dipercepat dan dipertingkat, supaya peluang dapat diwujudkan bagi kelompok yang memerlukan,” katanya.

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Jangan lupa baca ini...

Nasional

Kongsikan Artikel IniKUALA LUMPUR, 21 Jan – Pemerhati kesihatan memberi amaran kepada kerajaan untuk tidak mengadakan pilihan raya umum (PRU) sehingga situasi Covid-19 semakin...

Ekonomi

Kongsikan Artikel IniSEREMBAN, 20 Jan – Pengupayaan dan kemahiran dalam bidang tertentu seiring dengan tuntutan semasa memberi harapan baharu buat golongan B40, menerusi pendidikan....

Nasional

Kongsikan Artikel IniKUALA LUMPUR, 20 Jan – Kenyataan lebih banyak orang utan bunuh manusia berbanding haiwan itu dibunuh di negara ini oleh Menteri Perusahaan...

Nasional

Kongsikan Artikel IniWANGSA MAJU, 18 Jan – Ketua Cabang KEADILAN Wangsa Maju, Andre Lai mengucapkan Selamat Hari Thaipusam kepada penganut Hindu di seluruh Malaysia...

Copyright © 2021 Media Rania