Connect with us

Hi, what are you looking for?

MEDIA RANIA

Nasional

#Kerajaan69 Tak Sensitif Belanja Ubah Suai Seri Perdana Lebih RM30 Juta Wang Rakyat

Kongsikan Artikel Ini

PARLIMEN, 28 Sep – Amiruddin Hamzah (Pejuang-Kubang Pasu) menyifatkan tindakan kerajaan mengubah suai kediaman rasmi perdana menteri di Seri Perdana membabitkan kos sebanyak RM30 juta sebagai tidak sensitif ketika rakyat bawahan terus dihimpit kos sara hidup semasa pandemik Covid-19.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Kewangan pada era Pakatan Harapan (PH) turut mempersoalkan rasional kerajaan Perikatan Nasional (PN) membelanjakan lebih RM1 juta untuk mengubah suai dan membeli perabot baharu bagi pejabat kegunaan empat menteri dan timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada 2020 dan 2021.

“Sangat tidak sensitif dalam keadaan sekarang ketika rakyat bergelut untuk hidup tetapi mereka boleh belanja sebanyak RM1 juta untuk ubah suai di JPM, tidak termasuk ubah suai Seri Perdana sebanyak RM30 juta.

“Kononnya ubah suai berkenaan atas alasan keselamatan, saya pun tidak tahu bila perdana menteri ketika itu (Muhyiddin Yassin) duduk di situ sebab setiap kali bila ada hal, semua akan pergi ke rumah beliau di Bukit Damansara,” tegasnya dalam satu sidang media di Parlimen.

Terdahulu, dalam satu jawapan bertulis di Dewan Rakyat, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan kerja ubah suai dan naik taraf Kompleks Seri Perdana dilakukan setelah mengambil kira faktor keselamatan Perdana Menteri, selain memastikan imej negara dalam keadaan baik ketika menyambut tetamu luar negara.

“Pengubahsuaian ini meliputi skop-skop utama seperti penambahbaikan pendawaian elektrikal, mekanikal, serta sistem penghawa dingin dan pengubahsuaian struktur di blok kediaman rasmi serta penggantian perabot-perabot rasmi yang telah uzur dan daif, sesuai dengan status kediaman rasmi Perdana Menteri Malaysia,” katanya.

Perdana Menteri menjawab pertanyaan Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) yang ingin tahu mengenai status projek ubah suai kediaman rasmi perdana menteri ke-8 di Seri Perdana yang dikatakan membabitkan kos sebanyak RM30 juta.

Minggu lalu, Dewan Rakyat turut dimaklumkan mengenai kos ubah suai dan pembelian perabot baharu membabitkan peruntukan lebih RM1 juta untuk kegunaan empat menteri dan timbalan menteri JPM melibatkan dua menteri masing-masing bertanggungjawab hal ehwal undang-undang serta Sabah-Sarawak, selain timbalan mereka.

Mengulas lanjut, Amiruddin berkata, tindakan kerajaan itu disifatkan sebagai tidak adil ketika jabatan kerajaan yang berada di lapangan terpaksa mendapatkan pendanaan awam (crowdfunding) bagi membeli peralatan seperti bantuan oksigen dan katil untuk kegunaan di hospital.

“Di bawah sana, buat ‘crowdfunding’ untuk beli peralatan di hospital dan klinik, tetapi yang di atas menggunakan wang rakyat untuk kepentingan diri,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang 22 bulan pentadbiran PH di Putrajaya, pakatan itu tidak menggunakan satu sen wang kerajaan untuk mengubah suai ruang pejabat kerajaan.

“Yang ada sudah cukup selesa untuk kita semua menteri pada ketika itu menjalankan tugas dengan baik,” katanya.

Sementara itu, dalam sidang media sama, Hannah Yeoh (PH-Segambut) mendesak kerajaan mendedahkan jumlah kos keseluruhan membabitkan ubah suai di semua kementerian ketika pentadbiran PN.

“Perdana Menteri perlu senaraikan kerja ubah suai di semua kementerian, bukan hanya membabitkan pejabat di JPM.

“Bayangkan kos ubah suai membabitkan Menteri Undang-Undang sebanyak RM380,000, boleh bantu satu kawasan Parlimen untuk beri bakul makanan kepada 3,000 keluarga.

“Dan RM30 juta kos ubah suai di Seri Perdana boleh bantu 90 kawasan Parlimen, bayangkan berapa ramai keluarga kita boleh bantu,” katanya yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat era PH.

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Jangan lupa baca ini...

Nasional

Kongsikan Artikel IniKenyataan Media 16 Oktober 2021 Saya ucap terima kasih atas kesediaan serta pengiktirafan dari YAB Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan kerajaan...

Nasional

Kongsikan Artikel IniKerajaan mungkin tidak akan mewajibkan vaksinasi Covid-19, tetapi mereka yang menolak untuk divaksinasi akan berdepan dengan kehidupan yang sukar, kata Menteri Kesihatan...

Ekonomi

Kongsikan Artikel Ini1. Tan Sri Mohd Nor dilantik sebagai Pengerusi TH semasa saya menjadi Menteri yang bertanggungjawab ke atas TH mulai tahun 2018. Latarbelakang...

Nasional

Kongsikan Artikel IniKementerian Pendidikan digesa menyiasat pendedahan ibu bapa pelajar Tingkatan 2 sebuah sekolah menengah di Kuala Lumpur apabila satu video seks muncul di...

Copyright © 2021 Media Rania