Connect with us

Hi, what are you looking for?

MEDIA RANIA

Nasional

Adam Adli Yakin Lebih Sesuai Dengan Keadilan Berbanding Muda

Kongsikan Artikel Ini

Kuala Lumpur 18 Sep – Penyertaan bekas pemimpin pelajar dan aktivis Adam Adli ke dalam PKR bersama 19 yang lain mencetus perhatian banyak pihak kelmarin.

Masakan tidak, Adam yang aktif sebagai aktivis sejak masih menuntut di universiti, dilihat susuk muda yang ke depan mengetuai tunjuk perasaan, dan yang paling diingati, pastilah tindakannya menurunkan bendera gambar bekas perdana menteri, Najib Razak di ibu pejabat Umno 10 tahun lalu.

Namun ada segelintir pihak bertanya kenapa Adam memilih PKR dan bukannya parti yang lebih berkisar tentang anak muda, Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) sebagai wadah perjalanan politiknya yang baru bermula.

Ketika diajukan persoalan itu, Adam akui dia agak keberatan mengulas tentangnya, lebih-lebih lagi, Muda dianggotai rakan-rakan aktivis yang rapat dengannya termasuk daripada Liga Rakyat Demokratik yang dipengerusikannya.

Muda sendiri, kata Adam, sememangnya mempunyai garis perjuangan agak selari dengan PKR. Cuma bagi Adam, setelah dipertimbangkan semasak-masaknya, dia lebih sesuai untuk berpayung di bawah PKR.

“Saya sebenarnya keberatan untuk ulas apabila orang tanya soal ini; bagi saya ia tidak adil atau sihat untuk banding-bandingkan terutama antara parti-parti yang garis perjuangannya agak selari.

“Muda sendiri didirikan oleh teman-teman rapat saya sendiri; Amir Abdul Hadi, Dr Teo Lee Ken, Tarmizi Anuwar; jadi tarikan itu sentiasa ada.

“Malah kebanyakan rakan-rakan dalam Liga Rakyat Demokratik yang kami tubuhkan bersama dahulu pun menyertai Muda. Maka ada bentuk setiakawan yang sudah lama wujud.

“Cuma, apabila saya bincang dengan mendalam bersama rakan-rakan; saya yakin saya lebih sesuai dengan PKR,”.

Ulas Adam, dia berkongsi sejarah yang panjang dengan PKR, sejak zaman mahasiswa lagi, dan hubungan itu dijaganya sehinggalah sekarang.

Oleh itu, katanya, dia lebih bersedia untuk berdepan dengan rencam dan cabaran di dalam PKR berbanding parti lain.

Kekuatan sebenar PKR, pada pandangan Adam, adalah keterbukaan parti itu berdepan kepelbagaian, rencam masyarakat, dan pemikiran.

“Rencam di dalam PKR itu, saya mampu ikut. Prinsip-prinsip yang diangkat oleh PKR juga adalah prinsip-prinsip yang saya mampu pegang.

“[…] Ada cabaran masing-masing mana-mana parti pun, tetapi cabaran yang saya lihat di dalam PKR itu saya rasa lebih sedia untuk saya hadap.

“Saya juga harap keberadaan saya di dalam PKR boleh bantu parti ini untuk jangka masa panjang membina dan mengukuhkan lebih banyak hubungan baik dengan rakan-rakan lain di luar kotak parti …” katanya lagi.

Kerencaman PKR

Kata Adam, di matanya, PKR adalah parti yang “mampu tumbuh di merata ceruk dalam negara”, kerana politiknya merentasi kaum, agama, jantina dan umur – dan itu menjadikannya satu “landasan yang menarik” untuk dia bergerak bersama parti berkenaan.

Pada Khamis lalu , PKR menerima penyertaan daripada 20 aktivis muda, termasuk Adam dan Asheeq Ali Sethi Alivi.

Presiden PKR Anwar Ibrahim menyifatkan mereka sebagai “penggerak reformasi rakyat” yang sebelum ini terkenal dengan “idealisme, komitmen dan perjuangan” mereka.

Presiden penaja Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pula bersikap terbuka dan meraikan penyertaan Adam.

“Adam Adli adalah sorang pemimpin muda yang saya hormati. Kuat berkerja dan ada rekod prestasi (track record) yang baik dalam politik khidmat.

“Dia aset buat Malaysia, tidak kiralah parti mana yang disertainya. Tidak sabar untuk saya bekerjasama rapat dengannya,” katanya kepada Malaysiakini semalam ketika diminta mengulas mengenai parti politik yang menjadi pilihan bekas aktivis mahasiswa itu.

Mengulas lanjut mengenai suara anak muda dalam sistem politik negara yang dilihat dikuasai golongan tua, kata Adam, dia melihat PKR sebagai parti yang mempunyai rekod prestasi (track record) yang mengangkat golongan muda.

“PKR sendiri memang dari dahulu ada track record yang dia boleh tonjolkan betapa kepimpinan parti, dan individu-individu yang diketengahkan selalunya muda-muda dan sentiasa ada kesinambungan.

“Mungkin yang timbul ada isu hierarki yang lebih vertikal; nampak budaya patronage (kuasa naungan) yang kuat tetapi ini patut jadi tanggungjawab dan cabaran kitalah untuk ubah budaya politik ini,” katanya lagi.

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Jangan lupa baca ini...

Nasional

Kongsikan Artikel IniKenyataan Media 16 Oktober 2021 Saya ucap terima kasih atas kesediaan serta pengiktirafan dari YAB Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan kerajaan...

Nasional

Kongsikan Artikel IniKerajaan mungkin tidak akan mewajibkan vaksinasi Covid-19, tetapi mereka yang menolak untuk divaksinasi akan berdepan dengan kehidupan yang sukar, kata Menteri Kesihatan...

Ekonomi

Kongsikan Artikel Ini1. Tan Sri Mohd Nor dilantik sebagai Pengerusi TH semasa saya menjadi Menteri yang bertanggungjawab ke atas TH mulai tahun 2018. Latarbelakang...

Nasional

Kongsikan Artikel IniKementerian Pendidikan digesa menyiasat pendedahan ibu bapa pelajar Tingkatan 2 sebuah sekolah menengah di Kuala Lumpur apabila satu video seks muncul di...

Copyright © 2021 Media Rania