Connect with us

Hi, what are you looking for?

MEDIA RANIA

Jenayah

VIP Vs Marhaen, Pesalah Mana Lebih ‘Untung’ Terima Hukuman Mahkamah?

Kongsikan Artikel Ini

Kuala Lumpur 17 Sep – Bentuk hukuman dikenakan terhadap pesalah terutama membabitkan rasuah seolah-olah dipengaruhi status sosial dan hierarki politik mereka, dakwa Presiden Persatuan Pemeriksaan Fraud Bertauliah Cawangan Malaysia, Akhbar Satar.

Beliau berkata, hakim kelihatan seperti memberi persepsi bahawa status sosial, termasuk hierarki politik menjadi pertimbangan, sebelum pesalah dijatuhi hukuman.

“Persepsi terhadap objektif sistem kehakiman kita berkemungkinan boleh dipersoalkan.

“Kualiti asas bagi seorang hakim bijaksana perlu mengambil kira kes berdasarkan merit dan membuat keputusan tanpa rasa takut dan pilih kasih,” katanya dalam kenyataan.

Bagi menyokong dakwaan itu, Akhbar turut menyenaraikan kes mahkamah, termasuk hukuman dijatuhi hakim antara pesalah berstatus tinggi, berbanding rakyat biasa.

Katanya, dengan mengambil contoh hukuman dikenakan kepada seorang Peguam Kanan Persekutuan, yang didenda RM130,000 dan dipenjara sehari, selepas didapati bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang pada 5 Ogos lalu, atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM700,000, tahun lalu.

Beliau berkata, tempoh penjara sehari adalah susulan budi bicara hakim dalam menjatuhkan hukuman terhadap kes rasuah, selain kelemahan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Akhbar turut mengambil contoh beberapa kes lain termasuk seorang buruh di Terengganu yang dipenjara selama 15 bulan selepas mengaku bersalah mencuri petai.

Selain itu, kes membabitkan seorang penganggur yang dijatuhi hukuman penjara 10 bulan kerana mencuri wang sebanyak RM50 daripada tabung masjid.

Satu lagi kes “klasik” membabitkan penganggur berusia 22 tahun, Shashi Kumar Selvama, yang mencuri beras dan sardin di kedai runcit, dijatuhi hukuman penjara 10 tahun.

“Pada September 2015, Mohamad Khir Toyo dijatuhi hukuman penjara 12 bulan kerana menggunakan kedudukannya sebagai Menteri Besar Selangor ketika itu bagi mendapatkan dua bidang tanah dan sebuah banglo di Shah Alam bernilai RM6.5 juta, untuk dirinya dan isteri beliau. Bagaimanapun, selepas menjalani hukuman penjara selama enam bulan, beliau dibebaskan dengan parol,” katanya.

Akhbar berkata, jika SPRM mendapati bukti siasatan tidak memenuhi kriteria kesalahan Akta SPRM 2009, mereka boleh mempertimbangkan untuk menuduh suspek mengikut kesalahan Kanun Keseksaan seperti pecah amanah jenayah (CBT) dan menipu.

Rasuah adalah barah

Katanya, rasuah adalah barah dan jenayah berat, berbanding jenayah lain.

“Contohnya, dalam kes pembunuhan, ia hanya membabitkan pesalah dan keluarga mangsa sahaja, sedangkan dalam kes rasuah, ia membabitkan wang dan merampas hak rakyat daripada apa yang sepatutnya mereka terima.

“Wang rasuah itu boleh digunakan bagi penjagaan kesihatan, air bersih, pembinaan sekolah baharu serta jalan baharu di kawasan luar bandar,” katanya.

Beliau berkata, hukuman lebih berat, disusuli penjara lebih lama bersama sebatan, pastinya membuka mata orang ramai bahawa menerima rasuah mengundang kehancuran, bukan sahaja kepada penerima rasuah, bahkan seluruh keluarganya.

Katanya, institusi kehakiman dan perundangan menjadi mekanisme semak dan imbang penting, dan perlu bebas sepenuhnya daripada pemerintah demi menjamin institusi berkenaan kekal diyakini rakyat.

Akta SPRM 2009 lebih wajar menjatuhkan hukuman penjara mandatori sekurang-kurangnya dua bulan dengan minimum dua sebatan.

Ketika ini, akta itu hanya memperuntukkan hukuman penjara minimum sehari dan maksimum 20 tahun.

“Tidak seperti Akta Pencegahan Rasuah (BPR) 1997 sebelum ini, ia menjatuhkan hukuman lebih berat dengan hukuman penjara mandatori tidak kurang 14 hari dan tidak melebihi 20 tahun dan denda lima kali ganda daripada jumlah rasuah atau RM10,000 (yang mana satu lebih tinggi), jika didapati bersalah.

“Malah kesalahan pecah amanah jenayah mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara mandatori antara dua tahun dan 20 tahun, hukuman sebat dan denda.

“Ada pun, hukuman kerana menipu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, dikenakan hukuman penjara mandatori tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun, sebatan dan dikenakan denda,” katanya.

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Jangan lupa baca ini...

Nasional

Kongsikan Artikel IniKenyataan Media 16 Oktober 2021 Saya ucap terima kasih atas kesediaan serta pengiktirafan dari YAB Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan kerajaan...

Ekonomi

Kongsikan Artikel IniPolis telah membuka kertas siasatan dan merakam percakapan pengadu bagi dua laporan berkaitan Kertas Pandora. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Abd Jalil Hassan...

Nasional

Kongsikan Artikel IniKerajaan mungkin tidak akan mewajibkan vaksinasi Covid-19, tetapi mereka yang menolak untuk divaksinasi akan berdepan dengan kehidupan yang sukar, kata Menteri Kesihatan...

Jenayah

Kongsikan Artikel IniIsu Pandora Papers yang hangat diperkatakan sehingga ke Parlimen telah mendedahkan aktiviti ‘offshore tax haven’ yang merangkumi bukan sahaja pegangan saham, tetapi...

Copyright © 2021 Media Rania