Connect with us

Hi, what are you looking for?

MEDIA RANIA

Pendapat

MoU: Bolehkah Matlamat Dan Hasrat Rakyat Tercapai?

Kongsikan Artikel Ini

Pendapat 16 Sep – Hari ini Malaysia berusia 58 tahun. Apa harapan rakyat pada hari lahir negara tercinta ini? Tentunya agar Malaysia bergerak maju, aman dan sejahtera. Paling utama ialah berakhirnya krisis kesihatan dan ekonomi yang membelenggu sekian lama – akibat Covid-19.

Khusus untuk menangani dua masalah besar itu, memorandum persefahaman atau MoU kerajaan dengan Pakatan Harapan dimeterai beberapa hari lalu. Saya tidak bercadang menghuraikan intipati terperinci MoU berkenaan kerana ia sudah mendapat liputuan meluas media. Juga pelbagai rumusan dan ulasan sudah dibuat ahli akademi dan penganalis.

Bukan hasrat saya juga untuk menyenaraikan kebaikan atau lebih tepat manfaat MoU itu kerana ini juga sudah diketahui umum. Rata-rata bersetuju ia membawa faedah lalu mengalu-alukan kerjasama kerajaan-PH seperti yang dirangka menerusi MoU itu.

Malah Yang di-Pertuan Agong menzahirkan rasa syukur dan sukacita. Baginda berharap kemelut politik yang melanda negara akan berakhir segera susulan MoU itu supaya orang politik boleh memberi keutamaan terhadap kemaslahatan rakyat dan kesejateraan negara, bermula pada sidang Parlimen yang sedang berlangsung.

Namun sebelum kenyataan itu dikeluarkan Istana Negara, ada pihak yang menyatakan rasa tidak senang terhadap MoU berkenaan.

Ada penyokong PH yang sangsi akan kejujuran kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob. Mereka bimbang ada perangkap sudah dipasang. Adakah kerajaan benar-benar serius atau sekadar mahu menyelamatkan diri untuk terus berkuasa? Itu tanya mereka.

Ada penganalis serta pemerhati politik khuatir tidak ada lagi semak dan imbang kerana pembangkang hilang taring. Dalam erti kata lain, pembangkang akan “kaw tim” lantas kerajaan bebas melakukan apa saja yang mereka ingini.

Bagi saya, itu semua teguran ikhlas terbit daripada kebimbangan tulen.

Apa pun Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim dan rakan-rakan “terpaksa” tampil untuk memberitahu pembangkang tetap pembangkang. MoU itu, kata mereka, bukan bererti pembangkang menyertai kerajaan atau menyokong kerajaan membabi buta.

Malah kata Anwar pilihan untuk tidak menyokong usul sokong Perdana Menteri dan kerajaannya tetap ada. Kata Tony Pua dari DAP “PH tak rugi apa apa tetapi Malaysia raih manfaat”.

Bagaimanapun hanya PH yang terlibat dengan MoU itu. Kita tahu Warisan dan Pejuang tidak bersama. Ketika artikel ini ditulis, Presiden Warisan Shafie Apdal baharu berucap di Parlimen membidas PH kerana bekerjasama dengan pihak yang telah “mencuri” mandat mereka yang diberi rakyat. Jelas beliau merujuk Langkah Sheraton.

Realitinya, pembangkang berpecah. Sekurang-kurangnya dalam isu ini. Namun bagi saya, pembangkang terutama PH tidak punya pilihan selain memasuki MoU ini. Penolakan boleh menyaksikan mereka berdepan dengan tuduhan mereka hanya mahu main politik dan tidak hiraukan kesengsaraan rakyat.

Tetapi kerajaan juga ‘terperangkap’. Ia juga boleh dituduh demikian jika ‘buat perangai’ dan cuba ‘mempermainkan pembangkang’.

Walaupun Ismail orang Umno, adalah dipercayai ada pihak tertentu dalam partinya tidak senang adanya MoU itu. Dikatakan ini kerana agenda masing-masing. Walaupun Bersatu berada dalam pentadbiran Ismail, parti itu juga dikatakan tidak terlalu ghairah dengan MoU itu.

Menurut Mohd Azlan Zainal, pengarah operasi Ilham Centre, ini kerana “idea asal dibawa oleh mereka (Muhyiddin Yassin) tapi direalisasikan oleh Umno bawah Ismail”.

Anwar sudah menjelaskan mengapa PH bersetuju bekerjasama dengan Ismail tetapi menolak tawaran Muhyiddin. Ramai sudah maklum. Oleh itu tidak perlu saya ulangi.

Kata Azlan, kerajaan Ismail akan lebih berhati-hati bagi memangkin sokongan Melayu dan rakyat terhadap Umno.

Umum tahu MoU ini tidak mengikat tetapi lebih kepada persoalan sebagai gencatan politik. Kata Azlan, asasnya demi kestabilan poltik dan kepentingan rakyat. Maknanya Ismail mesti memastikan MoU itu berjaya.

Bagaimanapun berdasarkan apa yang berlaku di Parlimen semalam keadaan tidak menyenangkan. Umpamanya Ahli Parlimen RSN Rayer diusir menunjukkan amalan lama masih berjalan.

Lebih menyedihkan, hampir semua Menteri dan Timbalan Menteri tidak berada di dalam Dewan pada sesi petang semalam iatu hari pertama persidangan. Mereka sepatutnya hadir meneliti apa yang ditimbulkan Ahli Parlimen yang membahas titah Agong untuk dijawab kelak.

Malah, kata Ahli Parlimen Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, “masa Anwar bahas menteri yang sign MoU dan menteri lain tak ada, mana pergi? Tak hormat Dewan”.

Tidak menghormati Dewan sememangnya tindakan yang tidak boleh diterima. Malah apa yang berlaku, seperti yang dikatakan Syed Saddiq, tidak menunjukkan semangat MoU.

“Setuju. Sambalewa. Seolah-olah tidak menghormati MoU dan semangat kesefahaman. Tidak serius. Setelah sokongan diperolehi tidak menunjukkan komitmen baik,” kata Azlan.

Beliau melihat itu sisi positif kepada PH tetapi tidak pada kerajaan. “PH boleh menarik diri daripada MoU pada bila-bila masa sekiranya kerajaan gagal merealisasikan agenda yang dipersetujui bersama.

“Ini semua bergantung kepada keseriusan dan kejujuran kerajaan kerana tawaran bermula daripada pihak kerajaan.”

Persoalannya, adakah kerajaan benar-benar serius? Sesungguhnya ‘beban’ banyak atas bahu kerajaan. Namun untuk berlaku adil, PH juga mesti mainkan peranannya meski pun apa yang berlaku di Parlimen pada persidangan kelmarin tidak mencerminkan semangat kerjasama di sebalik MoU itu.

Saya setuju dengan Azlan bahawa MoU ini dilhat rapuh. Maksudnya apa apa boleh terjadi.

Oleh itu, sama ada ia akan berhasil bergantung kepada masa, juga kejujuran dan keseriusan, antara kedua dua pihak.
“Masing-masing kena berperanan dan komited berfungsi,” kata Azlan. Ya, lakukanlah yang sebaik mungkin untuk negara.

Selamat Hari Malaysia buat semua.

Mohsin Abdullah

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Jangan lupa baca ini...

Ekonomi

Kongsikan Artikel Ini1. Tan Sri Mohd Nor dilantik sebagai Pengerusi TH semasa saya menjadi Menteri yang bertanggungjawab ke atas TH mulai tahun 2018. Latarbelakang...

Pendapat

Kongsikan Artikel IniDilihat berada dalam keadaan tersepit di antara kerjasama dengan Umno atau Bersatu, formula PAS untuk “menyokong penyandang” jika berlaku pertembungan antara kedua-dua...

Pendapat

Kongsikan Artikel IniMinggu ini kita gembira dengan berita kebenaran merentas negeri. Ini bukan berkaitan dengan balik kampung menziarahi ibu bapa dan sanak saudara tetapi...

Pendapat

Kongsikan Artikel IniPENDAPAT, 10 Okt – Pengakuan UMNO Melaka tentang cubaannya menggamit kerjasama dengan DAP bagi menyelematkan nyawa kerajaan negeri daripada tumbang tidak lain...

Copyright © 2021 Media Rania