Connect with us

Hi, what are you looking for?

MEDIA RANIA

Pendapat

Era Baru Demokrasi Malaysia: ‘Yang Menang Tak Menang Semua’

Kongsikan Artikel Ini

Pendapat – Tarikh 15 September menandakan Hari Demokrasi Antarabangsa. Dalam minggu yang sama, 13 September, sistem demokrasi Malaysia juga menempa detik bersejarah baru dengan termetrainya Memorandum Persefahaman (MOU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan pimpinan Perdana Menteri Ismail Sabri dan ahli-ahli parlimen Pakatan Harapan.

Persefahaman ini merupakan perkembangan terkini susulan kemelut politik berpanjangan yang tercetus akibat percaturan politik Langkah Sheraton pada Februari 2020.

Walaupun beliau berjaya memegang tampuk pemerintahan, perdana menteri Muhyiddin Yassin, yang menerajui kerajaan ketika itu, tidak senang duduk apabila terpaksa menghadap gertakan saban hari daripada kelompok-kelompok dalam gabungan beliau sendiri.

Disebabkan majoriti yang tipis, Muhyiddin menggunakan pelbagai taktik termasuk habuan dan ancaman politik bagi menjamin kelangsungan pentadbiran beliau.

Malangnya, obsesi beliau dalam menagih sokongan ahli-ahli parlimen menyebabkan tersisihya agenda rakyat seperti pembendungan virus Covid-19, penjanaan peluang pekerjaan, penyelarasan dasar, dan penggemblengan seluruh jentera pentadbiran dalam mengekang penularan wabak daripada tumpuan kerajaan.

Keutamaan-keutamaan ini memerlukan kepimpinan dan keazaman politik yang jelas, tetapi Muhyiddin gagal untuk memberikannya.

Akhirnya beliau tersungkur jua. Muhyiddin terpaksa berundur apabila beliau kehilangan sokongan majoriti disebabkan penarikan sokongan daripada parti rakan beliau sendiri. 14 ahli parlimen Umno yang menarik sokongan daripada Muhyiddin dikatakan adalah mereka yang “sealiran” dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Ismail Sabri kemudiannya menggantikan Muhyiddin, tetapi majoriti beliau juga tipis. Perdana menteri baru, komposisi kerajaannya tetap sama. Berbekalkan sokongan hanya 114 ahli parlimen, beliau masih mudah tergugat oleh kelompok-kelompok dalam parti sendiri dan parti-parti rakan.

Tambahan pula, beliau tidak “sealiran” dengan geng Zahid. Menyedari kedudukan beliau yang lemah, sekutu-sekutu beliau tidak melepaskan peluang ini untuk membuat pelbagai permintaan, lantas menambahkan tekanan terhadap Ismail Sabri.

Bagi mematahkan ancaman daripada dalam gabungan beliau sendiri, Ismail Sabri terpaksa mengetepikan ego dan mengorak langkah berbeza daripada perdana menteri sebelumnya. Jika beliau terus bergantung hayat dengan memberikan ganjaran kepada rakan-rakan gabungannya, lambat laun tentunya beliau akan menemu nasib yang seperti Muhyiddin.

Setiap sesi parlimen, rang undang-undang, dan pembentangan belanjawan mungkin bakal menjadi detik terakhir beliau sebagai perdana menteri.

Dengan latar belakang inilah, Ismail Sabri menghulurkan tangan sebagai tanda perdamaian kepada pihak lawan menerusi satu tawaran persefahaman. Bagi meneruskan kelangsungan politiknya, beliau perlu mengimbangkan ancaman dalaman dengan sokongan blok luar. Namun, ‘harga’ untuk persefahaman ini juga agak tinggi buat beliau.

Pelaksanaan reformasi

Pelaksanaan reformasi-reformasi yang dipersetujui seperti pembentangan rang undang-undang antilompat parti, pembaharuan parlimen, had 10 tahun tempoh jawatan perdana menteri, dan rundingan rentas parti bagi Belanjawan 2022, rang undang-undang, dan usul-usul penting bakal mengikis sedikit sebanyak kuasa yang tertumpu di tangan kerajaan selama ini.

Sebagai balasan, ahli-ahli parlimen Pakatan Harapan bersetuju untuk tidak mengambil sebarang tindakan yang mungkin ditafsirkan sebagai ketidakpercayaan kepada perdana menteri, tertakluk kepada prasyarat yang telah dipersetujui.

Walaupun langkah ini memberikan sedikit kestabilan bagi kerajaan Ismail Sabri, sekurang-kurangnya sehingga 31 Julai 2022, pihak eksekutif tidak seharusnya duduk selesa dan befikir mereka boleh mengambil sikap sambil lewa.

Proses semak dan imbang tetap akan diteruskan. Hal ini dapat dilihat menerusi sidang parlimen dan kenyataan-kenyataan ahli-ahli parlimen Pakatan Harapan sepanjang minggu ini. Setiap isu yang merugikan rakyat masih diangkat dan diketengahkan.

Apa yang rakyat dapat?

Kerajaan tiada lagi alasan untuk tidak menumpukan segala usaha dan tenaga kepada langkah-langkah pembendungan Covid-19 dan pemulihan ekonomi. Rakyat sudah lama sengsara. Ramai yang hilang nyawa, ada antara kita yang hilang orang tersayang dan ahli keluarga, ada yang hilang kerja dan mata pencarian mereka terjejas dan sebagainya.

Langkah-langkah yang dipersetujui bagi pemerkasaan pelan Covid-19 seperti penambahan RM45 bilion bagi meningkatkan keberkesanan program pembendungan virus, bantuan tunai RM10 bilion kepada 11 juta penerima miskin tegar, miskin bandar dan golongan yang hilang pendapatan, serta pengecualian bayaran faedah moratorium pinjaman bank untuk rakyat B50, adalah antara perkara-perkara yang akan menguntungkan rakyat.

Reformasi institusi seperti pemerkasaan parlimen juga bakal menambahbaik proses penggubalan dasar dan pembentukan keputusan. Ahli-ahli Parlimen dapat memainkan peranan semak dan imbang yang lebih berkesan menerusi jawatankuasa-jawatankuasa pilihan khas parlimen (JPK) yang dibentuk untuk memantau setiap kementerian.

Bayangkan, jika JPK ini diberi kuasa dan sumber yang secukupnya, ia boleh memanggil menteri dan timbalan menteri termasuk juga penjawat-penjawat awam untuk menyemak dan meneliti segala keputusan yang telah dibuat oleh setiap kementerian. Dengan ini, institusi parlimen yang diperkasa sebegini boleh menjadi vaksin atau insurans terhadap kabinet yang tidak berfungsi.

Namun, secara realitinya adakah persefahaman ini akan berhasil menurut teorinya? Dapatkah persefahaman ini bertahan sehingga tamat tempohnya? Hanya masa yang akan menentukan.

Benar, tiada jaminan setiap pelaksanaan tuntutan-tuntutan MOU ini akan berjalan lancar. Kita tidak nafikan juga ada pihak yang akan cuba menggagalkan persefahaman ini demi kepentingan dan agenda tersendiri. Setiap satu langkah ada risikonya. Jika dalam masa yang sama kita dapat menambah baik proses demokrasi itu sendiri, apa salahnya kita mencuba.

Inilah demokrasi

Inilah demokrasi. Ia adalah sistem untuk mengurus kepentingan yang bercanggah. Ia bingit dan penuh dengan liku-liku. Hiruk-pikuk yang tidak berkesudahan adalah sebahagian daripada proses menguruskan perbezaan pendapat dan perkongsian kuasa.

Tiada pihak yang akan setuju sepenuhnya. Perlu ada tolak ansur dan kompromi. Kita sebagai rakyat seharusnya menjadi pemain utama dalam sistem ini.

Komitmen untuk mempercepatkan pelaksanaan undi18 dan pendaftaran automatik, serta kemunculan parti-parti baru menjelang PRU15 akan mengubah lapangan politik Malaysia secara drastik. Tiada lagi parti yang akan mendominasi.

Oleh itu, persefahaman rentas parti antara pihak kerajaan dan blok-blok berbeza mungkin akan terus menjadi salah satu ciri-ciri penting dalam sistem politik negara kita.

Sudah tiba masanya kita semua menerima bahawa dinamik demokrasi kita sudah berubah. Yang menang tidak akan menang semua, yang kalah tidak akan kalah semua.

RAJA AHMAD ISKANDAR FAREEZ, pengarah Komunikasi, Refsa.

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Jangan lupa baca ini...

Ekonomi

Kongsikan Artikel InimoreKUALA LUMPUR, 1 Dis – Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim mendakwa mekanisma kawalan harga barang begitu lembab susulan kenaikan harga secara mendadak, sejak...

Ekonomi

Kongsikan Artikel InimoreGEORGETOWN, 1 Dis – Kementerian Kesihatan (KKM) diminta menyiasat dan mengambil tindakan berhubung isu peningkatan bayaran perubatan di hospital swasta. Gesaan itu...

Ekonomi

Kongsikan Artikel InimoreKUALA LUMPUR, 1 Dis – Semua naik! Rata-rata peniaga dan pengguna masing-masing melahirkan rasa kecewa berikutan harga barangan terutamanya barang basah yang...

Ekonomi

Kongsikan Artikel InimorePUTRAJAYA, 1 Dis – Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob seakan terkejut dan terpaksa mengakui harga barang keperluan terutamanya ayam dan ikan meningkat....

Copyright © 2021 Media Rania