Connect with us

Hi, what are you looking for?

MEDIA RANIA

Anak Muda

KONFLIK: Pakatan Harapan dan isu logo

Kongsikan Artikel Ini

PRU15 – PAKATAN HARAPAN & ISU LOGO

1. PRU15 akan berlangsung kurang dua tahun dari sekarang. Isu penggunaan logo bertiup kencang di dalam Pakatan Harapan.

2. DAP dan Amanah nampaknya mahu logo rasmi Pakatan Harapan digunakan dalam PRU15, manakala Keadilan mencadangkan Logo Keadilan. UPKO selaku komponen termuda masih tidak menyatakan pendirian. Nampak kecil dan remeh tetapi isu ini sangat penting ditangani sebaiknya dan perlu diselesai segera. Sebarang isu walau sekecil mana sekalipun wajib diselesai secepat mungkin oleh pimpinan. Jangan biar ia berlegar-legar terlalu lama. Calar kalau tidak dirawat boleh menjadi kudis, dari kudis menjadi pekung, dari pekung bertukar kanser. Dan waktu itu sudah terlambat merawatnya.

3. Semua pihak ada hujah tersendiri. Ada fakta dan data. Ada kebenaran yang menyokong pendapat masing-masing.

4. Mengapa logo sangat penting dalam PRU khususnya PRU15? Logo adalah lambang yang akan digunakan dalam kerja kempen. Logo akan memperkenalkan parti dan calon. Lebih penting logo akan dimasukkan di dalam kertas undi untuk memudahkan pengundi memilih parti mana dan calon yang mewakili parti tersebut. Ada pengundi memilih parti tanpa mengira siapa calon, ada pengundi memilih calon tanpa menghirau parti diwakili, ada pengundi melihat kedua-duanya. Jadi, memilih dan memutuskan logo yang tepat oleh Pakatan Harapan adalah sangat penting.

5. Bagi menyelesaikan isu penggunaan logo oleh Pakatan Harapan, parti-parti komponen harus membuka minda seluasnya, mendengar hujah semua pihak, meneliti secara terperinci kepada kelebihan dan kekurangan logo-logo yang dicadangkan. Akhirnya pilihlah logo yang punya kelebihan melebihi kekurangan. Yang paling utama ialah logo yang dipilih wajib telah sangat dikenali dan sinonim dengan pengundi.

6. Sebelum PRU14 tahun 2018, Pakatan Harapan belum diluluskan oleh ROS. Bergerak hanya atas nama yang dipopularkan namun tidak dapat memperkenalkan satu logo rasmi. Pakatan Harapan hanya diluluskan pendaftaran sejurus selepas PRU14. Logo Pakatan Harapan diperkenalkan selepas itu.

7. PRU14 Pakatan Harapan sebulat suara bersetuju menggunakan logo Keadilan bagi semua calonnya. Pemilihan logo Keadilan ini dibuat berdasarkan Keadilan sebagai sebuah parti yang mempunyai Cabang hampir di semua Parlimen di seluruh negara dan logo Keadilan mampu menarik sokongan pengundi yang pelbagai kaum. Manakala PPBM, Amanah dan Warisan adalah parti baru yang masih belum dikenali ramai dan bersifat memperjuang kaum tertentu sahaja. Penggunaan Logo DAP pula difikirkan tidak sesuai mewakili Pakatan Harapan kerana DAP dilihat parti yang lebih bersifat “kecinaan” walaupun hakikatnya tidak begitu. Namun realitinya logo DAP tidak mampu menarik sokongan pengundi luar bandar kerana kawasan parlimen luar bandar majoriti pengundinya adalah kaum Melayu.

8. Berbalik kepada PRU15. Logo mana yang lebih sesuai digunakan? Logo Rasmi Pakatan Harapan atau mengekalkan penggunaan logo Keadilan sekali lagi? DAP dan Amanah sepakat mahu menggunakan logo rasmi Pakatan Harapan. Hujah mereka mudah. Sebagai sebuah pakatan politik rasmi yang sudah sah pendaftarannya, maka Pakatan Harapan wajib menggunakan logo rasmi yang juga sudah didaftarkan di ROS. Mereka turut berhujah penggunaan logo rasmi Pakatan Harapan akan memuasksn hati semua parti komponen dan tidak dilihat menjaga kepentingan satu parti sahaja. Bagi mereka semua parti komponen dalam Pakatan Harapan mempunyai hak yang sama. Hujah ini ada betulnya, tiada yang salah.

9. DAP dan Amanah menambah, penggunaan logo Keadilan akan dilihat menjaga kepentingan Keadilan sahaja. Lebih terkesan kata mereka ialah tumbangnya Kerajaan Pakatan Harapan adalah disebabkan pengkhianatan oleh Ahli-Ahli Parlimen Keadilan. Ini memberi kesan negatif jika logo Keadilan digunakan. Hujah yang ini boleh dipertikai ketepatannya.

10. Kedua-dua parti hanya melihat penggunaan logo Keadilan dalam ruang lingkup yang sempit. Dasar perjuangan Pakatan Harapan itu sendiri secara menyeluruh diambil dari dasar perjuangan Keadilan. Tunjang Reformasi yang dibawa oleh Pakatan Harapan merupakan intipati perjuangan Keadilan sejak dari era reformasi sebelum Keadilan ditubuhkan sebagai sebuah parti politik. Apabila sudah tertubuhnya Keadilan, Reformasi dijadikan dasar dan slogan perjuangan. Mengatakan tumbangnya Kerajaan Pakatan Harapan secara mutlak disebabkan pengkhianatan segelintir Ahli Parlimen Keadilan adalah hujah yang tersasar. Walaupun 11 Ahli Parlimen Keadilan melompat parti, jika Mahathir tidak meletakkan jawatan, Kerajaan Pakatan Harapan tidak akan tumbang. Masih ada jalan untuk mempertahankan Kerajaan Pakatan Harapan. Mengatakan logo Keadilan tidak sesuai digunapakai kerana nama Keadilan yang sudah dipandang buruk oleh pengundi gara-gara lompat parti juga meleset. Dalam peristiwa tumbangnya Kerajaan Pakatan Harapan di peringkat negeri ada Wakil Rakyat DAP dan Amanah juga melompat parti dan menyumbang kepada kejatuhan ini. Isu lompat parti sebenarnya melibatkan Wakil Rakyat ketiga-tiga parti komponen Pakatan Harapan. Oleh itu menuding jari hanya kepada Keadilan adalah satu sikap yang tidak bertanggungjawab.

11. Para pendokong Keadilan pula menyatakan pendirian supaya logo Keadilan dikekalkan untuk digunapakai oleh semua calon Pakatan Harapan bersandarkan faktor-faktor berikut:

a) Logo ini sangat dikenali oleh semua pengundi di seluruh negara.

b) Keadilan adalah parti berbilang kaum yang selesa diterima oleh pengundi yang berbilang kaum juga.

c) Dasar perjuangan Keadilan dan perlaksanaan perjuangannya yang tidak bersifat rasis dilihat mampu menarik sokongan secara menyeluruh.

d) Perjuangan reformasi yang Keadilan pelopori dan perjuangkan menekankan aspek keadilan, kesaksamaan dan kebersamaan, bertujuan membawa perubahan sistem pentadbiran kerajaan, badan kehakiman dan parlimen ke arah yang lebih baik demi kebaikan rakyat dan negara.

e) Landskap politik negara mengalami perubahan drastik bermula dari September 1998 selepas DSAI dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Umno. Keadilan membuktikan telah mampu merubah corak pemikiran pengundi dan rakyat, menjadi lebih terbuka dan berani.

f) Faktor idealisme perjuangan DSAI mendominasi fikrah perjuangan Keadilan dan Pakatan Harapan.

g) Keadilan satu-satunya parti yang mempunyai Cabang di semua 222 Parlimen dengan lebih 1000 Ranting berbanding parti-parti komponen lain. Oleh itu logo Keadilan telah dan sedang berkibar di seluruh pelosok negara.

h) Penggunaan logo Keadilan dalam PRU14 diterima majoriti pengundi dan rakyat sehingga membawa kemenangan. Oleh itu penggunaan logo Keadilan di PRU15 kekal relevan.

i) Logo Pakatan Harapan belum sesuai digunakan dalam PRU15 kerana promosinya belum menyeluruh. Dan majoriti pengundi masih belum “serasi” dengan logo ini.

j) Logo Pakatan Harapan dikatakan sangat “dekat” dengan kelibat Mahathir, Bekas Pengerusi yang telah memalit nama buruk kepada Pakatan Harapan. Mahathir tidak lagi menjadi pilihan pengundi dan rakyat. Mahathir telah mencemar nama dan logo Pakatan Harapan. Sikap dan tindakan beliau semasa menjadi Perdana Menteri amat merugikan Pakatan Harapan.

k) Masa singkat kurang dua tahun dari PRU15, ditambah kekangan pergerakan pemimpin ke seluruh negara akibat PKP, menyebabkan promosi logo Pakatan Harapan tidak berjalan secara efisyen. Promosi melalui media khususnya medsos tidak memadai.

12. Berdasarkan pro dan kontra hujah-hujah tersebut, maka penggunaan logo Keadilan lebih mendepani berbanding logo Pakatan Harapan untuk PRU15. Ini bukan masa yang sesuai untuk bereksperimen dengan logo Pakatan Harapan. Ini masa untuk berdiri di atas realiti bahawa Pakatan Harapan wajib memenangi PRU15 dengan strategi yang betul termasuk strategi penggunaan logo. Peluang Pakatan Harapan untuk menang sekali lagi amat cerah. Kekuatan sedia ada sudah mencukupi, namun usaha menambah baik kekuatan wajib diteruskan tanpa henti. Pihak lawan terdiri daripada Umno, PPBM, PAS, GPS, MCA, MIC dan lain-lain berada dalam keadaan amat lemah. Mereka tidak akan mampu bekerjasama di antara satu sama lain. Ini peluang besar untuk menewaskan mereka dengan majoriti lebih besar. Tetapi jangan pula Pakatan Harapan tewas kerana kesilapan dan kelemahan diri sendiri. Semua faktor memihak kepada Pakatan Harapan. Strategi kena tepat dan betul.

13. Semua aspek faktor kemenangan wajib digembeling sebaik mungkin termasuk isu logo. Capai dulu kemenangan di PRU15. Selepas itu, usaha membersihkan nama dan memperkenal logo Pakatan Harapan boleh dilakukan dengan menyeluruh dan berkesan.

14. Perahu sudah di air, dayung sudah di tangan, haluan sudah ditetapkan, kemudi sudah diturunkan, jangan pula tali pengikat tidak dilepaskan.

Bulat air kerana pembentung, bulat PH kerana muafakat.

Salam hormat.

Zaidi Ahmad
@ Aki Rock

 

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Jangan lupa baca ini...

Copyright © 2021 Media Rania